Maniam dilantik ketua jurulatih Selangor 2017

Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), hari ini telah mendapatkan khidmat P Maniam sebagai ketua jurulatih baharu skuad Liga Super Selangor bagi menghadapi musim 2017.

Maniam, 48, yang memiliki Pro Diploma AFC iaitu lesen kejurulatihan tertinggi Asia setaraf Lesen Pro UEFA akan dibantu dua penolong jurulatih iaitu K Gunalan dan Noor Zaidi Rohmat.

Pelantikan Maniam turut mengambilkira kelayakan minima terkini Perlesenan Kelab FAM (Club Licensing Requirement) 2017 untuk ketua jurulatih dipenuhi.

Selepas membimbing Selangor menjuarai Piala Belia 2006 dan Piala Presiden 2008, Maniam yang juga bekas pemain serba boleh skuad Red Giants pada era 1990-an telah menjadi penolong jurulatih skuad Liga Super Selangor selama tujuh musim iaitu dari 2009 hingga 2015.

Sepanjang tempoh berkenaan, Maniam telah dua kali diangkat menjadi pengendali sementara Selangor ketika dua bekas jurulatih, K Devan dan Irfan Bakti Abu Salim meletak jawatan pada pertengahan saingan Piala Malaysia 2011 dan 2013.

Bagi musim 2016, Maniam telah dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan Piala FAM, AirAsia Allstars FC.

Dengan kehadiran semula Maniam untuk musim 2017, Gunalan, 51, yang memangku tugas ketua jurulatih Selangor sejak Ogos 2016 akan kembali ke jawatan asalnya iaitu selaku penolong jurulatih.

Seorang lagi penolong jurulatih yang dilantik ialah Noor Zaidi, 34, yang telah membawa skuad Piala Belia Selangor muncul juara pada 2015 dan naib juara pada 2016.

Noor Zaidi menjadi pembantu kepada Gunalan ketika kempen Piala Malaysia 2016 dengan Selangor muncul naib juara selepas tewas kepada Kedah pada aksi final, 30 Oktober lalu.

Azlisham Ib Berahim, 43, pula kekal sebagai jurulatih penjaga gol.

Sementara itu, bekas pemain Selangor dari tahun 1999 hingga 2001, Abdul Rauf Ahmad dilantik sebagai pengurus baharu skuad Liga Super Selangor 2017.

Abdul Rauf, 39, yang merupakan salah seorang Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAS bagi penggal 2014-2018 sebelum ini pernah menjadi pengurus skuad Piala Presiden Selangor bagi musim 2015 dan 2016.

Seorang lagi Exco FAS, Omar Ali, 56, yang juga bekas jurulatih skuad Piala Presiden Selangor bagi musim 2015 dan 2016 telah dilantik sebagai penolong pengurus pasukan.