Liga Super: Terengganu 1 Selangor 4

Selangor kekal di tangga teratas Liga Super ketika saingan hanya berbaki empat perlawanan selepas berjaya mencatat kemenangan terbesar musim ini, menewaskan Terengganu 4-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.

Malah kemenangan itu dicapai ketika Selangor terpaksa beraksi 10 pemain sepanjang separuh masa kedua selepas penyerang dari Brazil, Paulo Rangel dilayangkan kad merah sejurus menjaringkan gol pertama Selangor pada masa kecederaan babak pertama.

Tiga lagi gol Selangor di babak kedua dijaringkan Abdul Hadi Yahya, S Veenod dan S Kunanlan ketika barisan Red Giants beraksi kurang seorang pemain berbanding Terengganu.

Selepas 18 perlawanan, Selangor kini mengumpul 37 mata, diekori rapat Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menewaskan Sime Darby 3-0 di Larkin untuk berada di tangga kedua dengan 35 mata.

Terengganu kekal di tangga ketiga dengan 31 mata manakala Pahang sekadar seri 2-2 dengan ATM di Selayang untuk mengumpul 30 mata di tangga keempat.

Pada perlawanan malam tadi, jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic tidak dapat menurukan Steve Pantelidis yang digantung perlawanan serta Rizal Fahmi Rosid yang demam manakala jurulatih Terengganu, Abdul Rahman Ibrahim mempertaruhkan barisan tanpa ketua pasukannya, Ismail Faruqi yang digantung perlawanan.

Kedua-dua pasukan mempamerkan permainan seimbang pada separuh masa pertama tetapi Terengganu lebih banyak melakukan percubaan tepat berbanding Selangor.

Penjaga gol Selangor, Farizal Marlias bagaimanapun cemerlang menyelamatkan empat percubaan berbahaya Terengganu menerusi sepakan Abd Manaf Mamat minit ke-4, rembatan jarak jauh Zairo Anuar Zalani minit ke-22, sepakan percuma Zairo minit ke-27 dan tandukan Ashari Samsudin minit ke-36.

Selangor hanya memperolehi peluang terbaik menerusi tandukan Rangel yang sedikit melewati palang gol selepas menerima lambungan pemain sayap import dari Indonesia, Andik Vermansah dari sebelah kiri pada minit ke-42.

Gol pertama Selangor hadir pada masa kecederaan babak pertama apabila lambungan Abdul Hadi dari sebelah kanan yang ditanduk Rangel berjaya ditepis penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee Ramli tetapi Rangel pantas menolak masuk bola muntah tersebut.

Namun kegembiraan Rangel hanya seketika apabila dia dilayangkan kad merah selepas itu kerana dia dikatakan melakukan kekasaran ketika situasi tiada bola sebelum jaringan berkenaan iaitu menyiku pemain pertahanan Terengganu, Mazlizam Mohamad.

Separuh masa kedua bersambung, Selangor hanya memerlukan seminit untuk memperolehi sepakan penalti selepas Andik dijatuhkan pertahanan Terengganu, Azlan Zainal betul-betul di sebelah hujung kiri kotak penalti tuan rumah.

Sepakan penalti yang diambil Abdul Hadi mudah menewaskan Sharbinee untuk gol kedua Selangor pada minit ke-47.

Namun Terengganu menghidupkan semula harapan dengan berjaya memperolehi gol pertama pada minit ke-51 apabila Moustapha Dabo melepaskan rembatan kencang kaki kiri berpunca keadaan kelam kabut selepas sepakan sudut untuk merapatkan kedudukan 2-1.

Ketika Terengganu terus mengasak untuk memburu gol penyamaan, mereka pula dihukum dua gol pada lewat permainan menerusi dua serangan balas yang dilakukan Selangor.

Gol ketiga Selangor hadir pada minit ke-88 apabila S Veenod berjaya melepasi kawalan dua pemain pertahanan Terengganu sebelum melepaskan rembatan cantik menewaskan Sharbinee.

Tidak cukup dengan itu, gol keempat Selangor diperolehi pada masa kecederaan apabila Veenod melorongkan bola untuk mudah disudahkan Kunanlan ketika mereka berdua hanya berdepan dengan Sharbinee, bekas penjaga gol Selangor musim lalu.

Selangor selepas ini akan menanti kunjungan ATM di Stadium Shah Alam, Jumaat ini untuk perlawanan ke-19.

TERENGGANU: 25. Sharbinee Allawee Ramli, 2. Mazlizam Mohamad, 5. Vincent Bikana, 11. Azlan Zainal (21. Nor Hakim Hassan ’82), 16. Zubir Azmi, 4. Abd Manaf Mamat (10. Norfarhan Muhammad ’74), 7. Zairo Anuar Zalani (c), 18. Ahmad Nordin Alias, 22. Ashari Samsudin, 46. Javier Estupinan (20. Mario Karlovic ’64), 45. Moustapha Dabo.

SELANGOR: 25. Farizal Marlias, 12. Bunyamin Umar (c), 5. Shahrom Kalam, 27. Evaldo Silva dos Santos, 3. Azmi Muslim, 16. S Kunanlan, 8. Nazmi Faiz Mansor (11. Hazwan Bakri ’82), 23. S Veenod, 7. Andik Vermansah (24. Fittri Shazwan Raduwan ’85), 14. Abdul Hadi Yahya (19. Afiq Azmi ’71), 9. Paulo Rangel.

Pengadil: Nafeez Abdul Wahab