Liga Super: T-Team 1 Selangor 1

Selangor gagal merampas tangga teratas Liga Super daripada Pahang apabila sekadar seri 1-1 dengan T-Team pada satu-satunya perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.

Kemenangan sepatutnya mampu melonjakkan Selangor ke kedudukan teratas itu, namun satu mata yang diraih sekadar membolehkan Selangor naik ke tangga kedua dengan 21 mata, satu mata memintas Terengganu yang masih kurang satu perlawanan.

Manakala Pahang kekal menerajui carta liga dengan 22 mata selepas 11 perlawanan.

Tiga mata penuh hampir saja menjadi milik Selangor sebelum jaringan A Thamil Arasu pada separuh masa pertama dipadamkan Patrich Wanggai pada minit ke-80 untuk memberi kelegaan kepada skuad kendalian Azraai Khor Abdullah itu.

Terdahulu, jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic mempertaruhkan kesebelasan sama kecuali Rizal Fahmi Rosid dibawa masuk bergandingan dengan Steve Pantelidis di posisi pertahanan tengah menggantikan Shahrom Kalam yang tidak dibawa ke Kuala Terengganu selepas mengalami kecederaan ketika menewaskan Perak 1-0 di Ipoh, Sabtu lalu.

Selepas serangan demi serangan dilancarkan ke kubu T-Team, Selangor akhirnya memperolehi jaringan pada minit ke-14 apabila Thamil mudah menanduk masuk bola sepakan penjuru Abdul Hadi Yahya yang sebelum itu ditanduk ke belakang oleh pertahanan T-Team.

Selangor kemudian hampir berjaya menambah jaringan pada minit ke-24, namun sepakan cantik Andik Vermansah selepas menerima lambungan Hadi dari sebelah kanan sekadar tepat ke dakapan penjaga gol T-Team, Shahril Sa’ari.

Peluang terbaik T-Team pula hadir seminit kemudian tetapi sepakan kaki kiri Azrul Hazran Amiludin Baki dari dalam kotak penalti berjaya dikuis keluar penjaga gol Selangor, Farizal Marlias.

Sebaik babak kedua bersambung, Selangor pantas menguji gawang T-Team tetapi percubaan Thamil selepas menerima lorongan Paulo Rangel berjaya ditepis Shahril pada minit ke-46.

Gawang Selangor akhirnya bocor pada minit ke-80 selepas Wanggai yang tidak dikawal berjaya menanduk masuk bola sepakan percuma Nelson San Martin dari sebelah kanan untuk menewaskan Farizal.

Namun pada masa kecederaan, malang menimpa Wanggai apabila dia dilayangkan kad merah oleh pengadil kerana tindakannya membalas kekasaran awal dilakukan Thamil.

Selangor selepas ini akan bertemu semula Perak di Stadium Shah Alam, Sabtu ini untuk perlawanan ke-12 liga sebelum bertandang ke Malang, Indonesia bagi perlawanan kelima Piala AFC bertemu Arema, 16 April ini dalam misi menghidupkan peluang mara ke pusingan kedua kalah mati.

T-TEAM: 25. Shahril Sa’ari, 2. Hazwan Rahman (17. Mazuki Yusof ’76), 3. Faizal Muhamad, 5. Hasbullah Awang (c), 33. Muhd Syuhiran, 42. Fazli Baharudin, 10. Nelson San Martin, 31. Sharin Sapien, 21. Azrul Hazran Amiludin Baki (24. Ramzul Zahini Adenan ’66), 8. Patrich Wanggai, 43. Leandro Dos Santos.

SELANGOR: 25. Farizal Marlias, 12. Bunyamin Umar (c), 4. Steve Pantelidis, 17. Rizal Fahmi Rosid, 3. Azmi Muslim, 14. Abdul Hadi Yahya (24. Fittri Shazwan Raduwan ’88), 16. S Kunanlan, 23. S Veenod, 7. Andik Vermansah (19. Afiq Azmi ’88), 20. A Thamil Arasu, 9. Paulo Rangel.

Pengadil: Fairuzi Mat Desa