Liga Super: T-Team 1 Selangor 0

Selangor terus keciciran mata untuk mengejar dua pasukan teratas Liga Super 2016 selepas tewas 1-0 kepada T-Team pada perlawanan ke-16 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.

Lebih malang, ia juga kekalahan ketiga berturut skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu selepas mereka tewas 2-1 kepada Felda United pada aksi Liga Super di Shah Alam, 26 Julai lalu dan tewas 1-0 kepada Pahang pada aksi Piala Malaysia di Kuantan, Sabtu lalu.

Gol tunggal pemain import dari Mali, Makan Konate pada minit ke-37 sudah cukup untuk memberikan tiga mata penuh buat T-Team kendalian Rahmad Darmawan yang kini menghuni tangga keenam liga dengan 19 mata.

Selangor pula kekal di tangga ketiga dengan 26 mata, di belakang juara bertahan yang juga pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT)dengan 40 mata dan pasukan tangga kedua, Felda United dengan 38 mata ketika saingan liga hanya berbaki enam perlawanan.

Pada aksi malam tadi, Selangor berpeluang di hadapan pada minit ke-25, namun percubaan Mauro Olivi di depan pintu gol selepas menerima lambungan Adam Nor Azlin berjaya diselamatkan penjaga gol T-Team, Wan Azraie Wan Teh.

Namun gawang Selangor bocor pada minit ke-37 berpunca kegagalan pertahanan import, Ugochukwu Ukah mengeluarkan bola dari kawasan bahaya lalu membolehkan Zulhanizam Shafine menghantar bola ke arah Konate untuk disudahkan pemain import itu dengan rembatan menewaskan Norazlan Razali.

Dua minit selepas itu, Zainal terpaksa mengeluarkan Olivi yang mengalami kecederaan dan membawa masuk Patrick Ronaldinho Wleh yang pada asalnya direhatkan daripada kesebelasan utama.

T-Team nyaris menambah gol kedua pada minit ke-44 tetapi percubaan bahaya oleh Asrol Ibrahim berjaya diselamatkan Norazlan untuk kedudukan 1-0 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Norazlan sekali lagi menjadi penyelamat Selangor apabila berjaya menghadang kemas sepakan padu Konate dalam kotak penalti pada minit ke-50.

Peluang Selangor untuk menyamakan kedudukan hadir pada minit ke-54, namun Ronaldinho yang berjaya melepasi kawalan Abdoulaye Maïga dan hanya berdepan Wan Azraie sekadar melepaskan sepakan yang sedikit sipi ke kiri gawang T-Team.

Pada minit ke-78, sepakan percuma Azmi Muslim hampir berjaya disambar oleh Ukah, namun sempat disambar penjaga gol T-Team dan kedudukan 1-0 itu kekal sehingga wisel penamat.

Selangor selepas ini akan bertemu Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Sabtu ini.

T-TEAM: 27. Wan Azraie Wan Teh, 4. Kamal Azizi Zabri, 2. Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris, 3. Abdoulaye Maïga, 7. Hassan Basri Ahmad Ridzuan (C), 15. Ahmad Takhiyuddin Roslan (37. Safawi Rasid 67′), 8. Badrul Hisyam Morris, 13. Asrol Ibrahim (17. Mazuki Yusof 84′), 26. Zulhanizam Shafine, 10. Makan Konate. 11. Patrick Cruz (22. Ramzul Zahini Adnan 58′).

SELANGOR: 22. Norazlan Razali, 13. Razman Roslan (C), 18. Ugochukwu Ukah, 17. Rizal Fahmi Rosid, 3. Azmi Muslim, 9. Adam Nor Azlin, 23. S Veenod (14. Abdul Hadi Yahaya 73′), 21. Hafiz Kamal, 10. Nazmi Faiz Mansor, 25. R Gopinathan, 16. Mauro Olivi (4. Patrick Ronaldinho Wleh 39′).

Pengadil: Teoh Hee Loon