Liga Super: T-Team 1 Selangor 0

Selangor menamatkan saingan pusingan pertama Liga Super 2017 di tangga keenam selepas tewas 1-0 kepada T-Team pada perlawanan ke-11 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.

Tatkala Selangor dilihat hampir berjaya membawa pulang satu mata, pemain gantian Fauzi Abdul Kadar menjadi pemusnah apabila menjaringkan gol kemenangan T-Team kendalian Rachmat Darmawan pada minit ke-89.

Terdahulu Selangor bimbingan P Maniam dilihat menghadapi kesukaran untuk mencipta peluang pada awal babak pertama dengan percubaan terbaik hanya hadir pada minit ke-37 tetapi hantaran Syahmi Safari menuju gawang T-Team berjaya ditepis keluar penjaga gol, Hafidz Romly.

Selang empat minit kemudian, Selangor hampir berjaya memecah kebuntuan tetapi gerakan satu dua Adam Nor Azlin dan Francis Forkey Doe akhirnya menyaksikan percubaan Forkey Doe gagal menemui sasaran untuk menamatkan separuh masa dengan kedudukan 0-0.

Awal babak kedua, Selangor sekali lagi beroleh peluang terbaik, namun hantaran jauh Adam yang menemui Forkey Doe kemudian berjaya diselamatkan pertahanan T-Team dalam keadaan kelam kabut di dalam kotak penalti pada minit ke-52.

T-Team turut berpeluang pada minit ke-61, namun hantaran rendah Nor Hakim Hassan berjaya diselamatkan penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid sebelum tolakan Mamadou Samassa gagal menemui sasaran.

Selangor kemudian beroleh tiga lagi peluang pada minit ke-63, 66 dan 69, namun sepakan rendah Adam Nor diselamatkan Hafidz, tendangan leret Forkey Doe turut diselamatkan manakala percubaan jauh Adam Nor gagal menemui sasaran.

Peluang terbaik Selangor hadir pada minit ke-76 menerusi hantaran pemain gantian, Fittri Shazwan Raduwan tetapi percubaan Forkey Doe yang telah berjaya menewaskan Hafidz dikeluarkan pertahanan T-Team di atas garisan gol.

Akhirnya pada minit ke-89, hantaran Arif Fadzilah Abu Bakar disusuli larian pantas Fauzi berjaya disudahkan pemain gantian T-Team itu untuk menewaskan Khairulazhan bagi gol kemenangan tuan rumah.

Selepas beraksi 11 perlawanan, Selangor turun dua anak tangga ke kedudukan keenam dengan 16 mata, sama mata dengan Kelantan di tangga kelima dan T-Team di tangga ketujuh, masing-masing ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu yang juga juara bertahan, Johor Darul Ta’zim.

Selangor akan memulakan saingan pusingan kedua Liga Super 2017 bertemu Sarawak di Stadium Negeri, Kuching pada 9 Mei ini diikuti aksi di laman sendiri berdepan Pahang pada 24 Mei untuk dua perlawanan yang dijadual berlangsung sebelum Ramadan.

T-TEAM: 1. Hafidz Romly; 4. Kamal Azizi Mohd Zabri (7. Hassan Basri Ridzuan 84′), 3. Abdoulaye Maiga, 27. Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris, 2. Arif Fadzilah Abu Bakar; 8. Badrul Hisham Morris, 5. Hasbullah Awang (C), 30. Dilshod Sharofetdinov; 10. Mamadou Samassa, 17. Farhod Tadjiyev (18. Fauzi Abdul Kadar 59′), 11. Nor Hakim Hassan (33. Zarulizwan Mazlan 88′).

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid; 12. Bunyamin Umar, 18. Ugochukwu Ukah, 13. Razman Roslan; 20. Syahmi Safari, 9. Adam Nor Azlin (24. Fittri Shazwan Raduwan 72′), 8. Saiful Ridzuwan Selamat, 28. Juliano Mineiro (19. Afiq Azmi 83′), 3. K Kannan; 30. Victor Astafei, 10. Francis Forkey Doe.

Pengadil: Fitri Maskon