Liga Super: Sime Darby 1-2 Selangor

Selangor memastikan kedudukan di tangga teratas Liga Super selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Sime Darby di Stadium Selayang malam tadi.

Penyerang import, Paulo Rangel memastikan statusnya sebagai penyerang berbisa Merah Kuning apabila menjaringkan dua gol.

Tuan rumah bagaimanapun terlebih dahulu mengejutkan Selangor apabila hantaran Farderin Kadir disempurnakan Mohd Failee Mohd Ghazali ketika usia perlawanan baru mencecah 2 minit.

Pemain tengah, K Gurusamy hampir menyamakan kedudukan tetapi sepakan kencangnya dari luar kotak penalti pada minit ke-19 terkena tiang tatkala penjaga gol Sime Darby, Kamarul Effandi sudah tertewas.

Gurusamy sekali lagi mencuba dari jarak jauh 10 minit kemudian, namun kali ini sepakannya sedikit tinggi melewati palang gol.

Selangor akhirnya menemui gol penyamaan yang dicari pada minit ke-40. Hantaran rendah Bunyamin Umar gagal dikeluarkan pertahanan Sime Darby sekaligus memudahkan Rangel menolak masuk.

Kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Selangor tampil lebih garang di separuh masa kedua dan hampir menggandakan jaringan pada minit ke-49 namun jaringan pemain pertahanan, Steve Pantelidis hasil dari sepakan percuma Junior Aparecido dibatalkan pengadil Suhaizi Sukri kerana beliau terlebih dahulu berkedudukan offside.

Biarpun menguasai perlawanan selepas itu, Selangor masih gagal menemui sentuhan penyudah sehinggalah jurulatih Mehmet Durakovic membuat dua pertukaran pada minit ke-75.

Kemasukan Abdul Hadi Yahya dan Andik Vermansah ternyata menyuntik semangat bagi jentera serangan pasukan pelawat.

Hanya seminit kemudian Andik bijak memperdaya beberapa pemain Sime Darby sebelum melorongkan bola yang disambut kemas Hadi namun sepakannya diselamatkan Kamarul Effandi.

Tetapi ketika perlawanan berbaki 5 minit, hantaran cantik Hadi dari sebelah sayap kanan ditanduk masuk Paulo Rangel untuk gol kemenangan Selangor.