Liga Super: Selangor 3 Sarawak 0

Selangor meneruskan perjuangan untuk merebut kejuaraan Liga Super selepas berjaya menewaskan Sarawak 3-0 di Stadium Shah Alam, malam tadi hasil dua jaringan Paulo Rangel dan satu gol Ahmad Hazwan Bakri.

Kemenangan Selangor itu menafikan hajat pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk mengesahkan kejuaraan lebih awal selepas mereka menewaskan Kelantan 3-0 di Larkin, malam kelmarin.

Kini berbaki satu perlawanan, JDT mengumpul 41 mata manakala Selangor 40 mata.

Selangor masih berpeluang muncul juara Liga Super andai berjaya menewaskan PKNS FC pada perlawanan terakhir di Stadium Shah Alam, Rabu ini sambil mengharap JDT sekadar seri dengan Sarawak di Kuching.

Namun jika JDT berjaya menewaskan Sarawak, kelab dari selatan tanah air itu akan muncul juara Liga Super buat kali pertama tanpa mengambil kira apa pun keputusan Selangor menentang PKNS FC.

Pada perlawanan di Shah Alam malam tadi, Selangor kembali mendapat khidmat Rangel yang selesai penggantungan dua perlawanan akibat kad merah ketika bertemu Terengganu.

Namun jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic tidak dapat menurunkan Nazmi Faiz Mansor dan A Thamil Arasu yang menjalani penggantungan satu perlawanan.

Manakala Sarawak kendalian Robert Alberts turun dengan 100 peratus tenaga tempatan berikutan penyerang importnya, Muamer Salibasic yang tidak cergas hanya diletakkan di bangku simpanan sambil Ryan Griffiths pula digantung perlawanan.

Selangor mendahului 1-0 pada separuh masa pertama hasil jaringan Rangel yang melakukan sepakan cantik selepas menyambut bola sepakan penjuru Abdul Hadi Yahya pada minit ke-42.

Rangel kemudian menjaringkan gol kedua Selangor dan gol ke-14 peribadinya untuk terus menguasai carta penjaring terbanyak Liga Super selepas tenang menyudahkan lorongan cantik Andik Vermansah dari sebelah kanan menerusi satu serangan balas pada minit ke-60.

Selangor terus selesa apabila berjaya menambah gol ketiga pada minit ke-64, kali ini Hazwan mudah melakukan kuisan mengelirukan penjaga gol Sarawak, Fadley Abd Rahim selepas menerima hantaran Rangel untuk merekodkan jaringan pertamanya musim ini.

Biarpun Selangor memiliki beberapa lagi peluang terbaik selepas itu, kedudukan 3-0 kekal sehingga wisel penamat.

SELANGOR: 25. Farizal Marlias, 12. Bunyamin Umar (c), 4. Steve Pantelidis, 5. Shahrom Kalam, 16. S Kunanlan, 11. Ahmad Hazwan Bakri (2. Shazlan Alias ’77), 23. S Veenod, 6. Shukur Jusoh, 7. Andik Vermansah (24. Fittri Shazwan Raduwan ’71), 14. Abdul Hadi Yahya (18. P Rajesh ’84), 9. Paulo Rangel.

SARAWAK: 1. Fadley Abd Rahim, 12. Rames Lai Ban Huat, 17. Hairol Mokhtar (c), 4. Mafry Balang, 3. Mazwandi Zekaria, 23. S Chanthuru, 15. Junior Eldstal, 16. Shahrol Saperi (8. Reeshafiq Alwi ’67), 11. Ashri Chuchu (13. Dzulazlan Ibrahim ’85), 9. Rasyid Aya (19. Joseph Kalang Tie ’55), 14. Akmal Rizal Rakhli.

Pengadil: Zamzaidi Katimin