Liga Super: Selangor 3 Felda United 1

Selangor bangkit daripada kekecewaan tersingkir saingan Piala FA 2017 selepas berjaya meraih tiga mata penuh dengan menewaskan Felda United 3-1 pada perlawanan kelima Liga Super 2017 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.

Selasa lalu, Selangor gagal meneruskan kemaraan ke pusingan ketiga Piala FA selepas tewas 4-3 kepada pasukan Liga Premier, Negeri Sembilan pada penentuan sepakan penalti aksi pusingan kedua di stadium sama yang berkesudahan seri 0-0 selepas 120 minit.

Namun pada aksi malam tadi, tiga gol pada babak pertama sudah cukup untuk memberikan kemenangan kedua buat skuad kendalian P Maniam itu pada kempen Liga Super musim ini, sekali gus naik seketika ke tangga kedua dengan lapan mata sebelum baki lima perlawanan lain bakal berlangsung malam ini.

Selangor turun tanpa tonggak pertahanan import, Ugochukwu Ukah dan penyerang muda, Adam Nor Azlin kerana kedua-dua mereka digantung satu perlawanan selepas mengumpul kad kuning ketiga ketika mengikat juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) 0-0 pada aksi keempat liga di Larkin, 11 Februari lalu.

Gol pertama Selangor hadir pada minit ke-29 selepas penyerang import dari Romania, VIctor Astafei melakukan sepakan lambung menarik untuk memperdayakan penjaga gol Felda United, Farizal Harun selepas beliau menerima bola hantaran jauh dari barisan pertahanan.

Selangor kemudian dihadiahkan pula sepakan penalti selepas Astafei dikasari pemain pertahanan Felda United, namun sepakan penalti diambil Francis Forkey Doe berjaya ditepis Farizal.

Bagaimanapun bola muntah tampanan Farizal itu berjaya juga ditolak masuk ke gawang Felda United oleh Raimi Md Nor untuk gol kedua Selangor pada minit ke-43.

Ketika masa kecederaan separuh masa pertama, Juliano Mineiro pula mencatat nama sebagai penjaring gol ketiga Selangor menerusi sepakan percuma dan menamatkan separuh masa dengan mendahului 3-0.

Felda United berpeluang untuk merapatkan kedudukan pada minit ke-59, namun sepakan deras penyerang importnya, Gaston Cellerino sekadar menggegar tiang kiri gawang Selangor yang dikawal penjaga gol kebangsaan, Khairulazhan Khalid.

Gol saguhati Felda United akhirnya diperoleh pada minit ke-84 menerusi tandukan depan gol penyerang gantian, Lucas Cano untuk menamatkan perlawanan dengan kemenangan 3-1 buat Selangor.

Selangor selepas ini akan bertandang ke Kota Bharu untuk bertemu Kelantan pada Sabtu depan, 25 Februari 2017 bagi perlawanan keenam Liga Super.

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid; 12. Bunyamin Umar, 13. Razman Roslan (C), 17. Rizal Fahmi Ab Rosid; 20. Syahmi Safari, 8. Saiful Ridzuwan Selamat (3. K Kannan 90+1′), 23. S Veenod, 15. Raimi Md Nor; 30. Victor Astafei, 10. Francis Forkey Doe (27. Nurshamil Abd Ghani 83′), 28. Juliano Mineiro (4. Abdul Halim Zainal 65′).

FELDA UNITED: 30. Farizal Harun; 26. Hasnizaidi Jamian, 5. Mootaz Jounaidi, 3. Nor Fazly Alias, 18. Aizulridzwan Razali; 17. Fakrul Aiman Sidid (29. Ridzuan Abdunloh Pula 46′), 12. Shukor Adan (C), 10. Zah Rahan Krangar, 27. Hadin Azman; 9. Norshahrul Idlan Talaha (19. Fazrul Hazli Kadri 70′), 23. Gaston Cellerino (8. Lucas Cano 61′).

Pengadil: Nazmi Nasaruddin