Selangor berjaya meraih tiga mata penuh dengan menewaskan Sarawak 2-1 pada perlawanan kesembilan Liga Super 2017 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.

Gol daripada Victor Astafei dan Francis Forkey Doe memberikan kemenangan keempat buat skuad kendalian P Maniam itu pada kempen Liga Super musim ini, sekali gus melonjak ke tangga ketiga selepas mengumpul 15 mata.

Maniam melakukan tiga perubahan kepada kesebelasan Red Giants yang tewas kepada Perak sebelum ini dengan Francis Forkey Doe kembali dari kecederaan hamstring, Abdul Halim Zainal mengambil-alih posisi S Veenod di bahagian tengah manakala Rizal Fahmi Rosid kembali menggantikan Ugo Ukah yang menjalani penggantungan satu perlawanan di posisi pertahanan.

Selepas tidak beraksi hampir lima minggu untuk memberi laluan kepada aksi Piala AFC, Piala FA serta perlawanan antarabangsa skuad kebangsaan bertemu Filipina, ternyata tuan rumah sedikit longgar di babak awal perlawanan.

Pelawat hampir membuat kejutan seawal minit ke-6 apabila Ronny Harun bijak melepasi kawalan pertahanan Selangor untuk menerima sepakan sudut namun tandukannya sekadar menggegar palang sekalipun Khairulazhan Khalid telah pun tertewas.

Hanya dua minit berselang sebelum palang sekali lagi menjadi penyelamat Merah Kuning apabila menidakkan sepakan deras Mateo Roskam selepas menerima hantaran Abdul Rahim Abdul Razak dari sebelah kiri pintu gol Selangor.

Tersentak dengan dua peluang awal itu, Selangor kembali mengatur rentak dan menguasai perlawanan.

Gol pertama Selangor hadir pada minit ke-22 selepas hantaran Juliano Mineiro ke dalam kotak penalti Sarawak gagal ditanduk kemas pemain pertahanan, Demerson Bruno Costa sekaligus membolehkan Astafei menyambar bola tersebut untuk menewaskan penjaga gol, Mohd Shahril Sa’ari.

Perlawanan menjadi semakin rancak selepas itu dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun tiada percubaan yang benar-benar mengancam gawang lawan.

Kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Selangor hanya memerlukan 4 minit sebelum melebarkan jurang kedudukan apabila Forkey Doe memanfaatkan sepakan percuma Mineiro dari sebelah kiri gawang Sarawak untuk menanduk masuk gol kedua pada minit ke-49.

Sarawak berpeluang untuk merapatkan kedudukan pada minit ke-72, namun tandukan penyerang importnya, Mark Andrew Hartmann hasil gerakan satu-dua cantik bersama Roskam sekadar menggegar tiang kiri gawang Selangor.

Gol saguhati Sarawak akhirnya diperoleh pada minit ke-83 menerusi sepakan deras Roskam untuk menamatkan perlawanan dengan kemenangan 2-1 buat Selangor.

Selangor selepas ini akan bertandang ke Kuantan untuk bertemu Pahang pada Sabtu depan, 15 April 2017 bagi perlawanan kesepuluh Liga Super.

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid; 12. Bunyamin Umar, 13. Razman Roslan (C), 17. Rizal Fahmi Ab Rosid; 20. Syahmi Safari, 8. Saiful Ridzuwan Selamat (3. K Kannan 88’), 4. Abdul Halim Zainal (23. S Veenod 65’), 15. Raimi Md Nor; 30. Victor Astafei, 10. Francis Forkey Doe, 28. Juliano Mineiro (9. Adam Nor Azlin 81’).

SARAWAK: 25. Mohd Shahril Sa’ari, 2. Ronny Harun (C), 3. Demerson Bruno Costa, 8. Tommy Mawat Bada, 9. Mateo Roskam, 12. Rames Lai Ban Huat, 13. Mohammad Dzulazlan Ibrahim, 17. Mohd Hairol Mokhtar, 19. Jong Ho Lee, 28. Awang Kamaruddin Awang Borhan, 30. Abdul Rahim Abdul Razak

Pengadil: Samsudin Ibrahim