Liga Super: Selangor 2 Pulau Pinang 0

Selangor membuka kempen Liga Super 2017 dengan langkah kanan apabila berjaya meraih tiga mata penuh di gelanggang sendiri selepas menewaskan Pulau Pinang 2-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.

Kemenangan menerusi dua jaringan babak pertama Adam Nor Azlin dan Francis Forkey Doe sudah cukup meletakkan skuad Red Giants kendalian P Maniam itu di tangga teratas liga sambil diekori naib juara musim lalu, Felda United yang menewaskan PKNS FC 1-0 di Bandar Jengka.

Tiga perlawanan lain berkesudahan seri iaitu Perak seri 1-1 dengan Pahang di Ipoh, T-Team seri 1-1 dengan Sarawak di Kuala Terengganu dan juara bertahan Johor Darul Ta’zim seri 1-1 dengan Kedah di Larkin (perlawanan sumbangsih yang dimenangi Kedah menerusi penentuan sepakan penalti 5-4).

Sementara aksi Kelantan bertemu Melaka di Kota Bharu terpaksa dipinda ke tarikh lain kerana hujan lebat sepanjang hari menyebabkan perlawanan tidak dapat dilangsungkan.

Di Selayang, Selangor yang diketuai kapten, Razman Roslan memulakan permainan dengan beroleh peluang terbaik seawal minit keempat, namun percubaan susulan Ugochukwu Ukah sedikit tersasar selepas sepakan percuma Raimi Md Nor ditepis penjaga gol Pulau Pinang, Syed Adney Syed Hussein.

Satu lagi peluang terbuka hadir pada minit ke-15 tetapi hantaran Syahmi Safari, pemain sayap muda berusia 19 tahun dari sebelah kanan gagal disudahkan dengan tepat oleh pemain tengah, Saiful Ridzuwan Selamat di depan pintu gol Pulau Pinang.

Adam Nor, penyerang muda Selangor berusia 21 tahun kemudian menyaksikan dua percubaannya pada minit ke-18 dan 21 berjaya diselamatkan Syed Adney.

Gawang Selangor yang dikawal penjaga gol ketiga, Zarif Irfan Hashimuddin berikutan kecederaan Khairulazhan Khalid dan Norazlan Razali cemas seketika pada minit ke-23 selepas percubaan Faizat Ghazli menerusi serangan balas berjaya dikeluarkan pemain pertahanan, Rizal Fahmi Rosid di depan pintu gol.

Dua minit berselang, Zarif Irfan yang baru berusia 22 tahun sekali lagi lega selepas sepakan percuma jarak jauh pemenang Anugerah Puskas FIFA 2016, Faiz Subri sedikit sipi ke kanan pintu gol Selangor.

Gol pertama Selangor akhirnya menjelma pada minit ke-35 menerusi penyudah kemas Adam Nor di depan pintu gol Pulau Pinang susulan tandukan awal Ukah hasil hantaran S Veenod yang ditepis oleh Syed Adney.

Ketika permainan menuju waktu rehat separuh masa, kesilapan Syed Adney mengeluarkan bola berjaya dirampas Saiful Ridzuwan yang kemudian melorongkannya kepada Forkey Doe untuk melakukan penyudah kemas bagi gol kedua Selangor pada minit ke-45.

Jentera depan Selangor sedikit terjejas pada babak kedua selepas Forkey Doe terpaksa dibawa keluar seawal minit ke-48 kerana mengalami kecederaan dan Afiq Azmi yang masuk menggantikannya gagal melakukan percubaan-percubaan berbahaya untuk melebarkan kedudukan.

Pulau Pinang kendalian jurulatih berusia 41 tahun dari England, Ashley Westwood mendapat peluang terbaik untuk merapatkan jurang gol pada minit ke-55, namun percubaan jarak jauh ketua pasukannya, Rafiuddin Roddin berjaya ditepis baik Zarif Irfan.

Beberapa peluang kedua-dua pasukan selepas itu sama ada mudah diselamatkan penjaga gol atau tidak tepat ke sasaran menyaksikan kedudukan 2-0 memihak kepada Selangor itu kekal sehingga wisel penamat untuk menggembirakan kira-kira 3,000 penyokong Merah Kuning yang hadir.

Selangor selepas ini akan bertemu pendatang baharu Liga Super 2017, Melaka pada perlawanan kedua di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Jumaat ini (27 Januari).

SELANGOR: 22. Zarif Irfan Hashimuddin; 13. Razman Roslan (C), 18. Ugochukwu Ukah, 17. Rizal Fahmi Rosid; 20. Syahmi Safari, 8. Saiful Ridzuwan Selamat, 4. Abdul Halim Zainal (3. K Kannan 80′), 15. Raimi Md Nor; 9. Adam Nor Azlin (24. Fittri Shazwan Raduwan 90′), 10. Francis Forkey Doe (19. Afiq Azmi 48′), 23. S Veenod.

PULAU PINANG: 1. Syed Adney Syed Hussein; 2. Mafry Balang (18. Zulkhairi Zulkeply 66′), 4. Reinaldo Lobo, 23. Andrew Russell, 19. Redzuan Suhaidi; 17. Faizat Ghazli, 19. Syamer Kutty Abba, 5. Diogo Ferreira, 20. Rafiuddin Roddin (C); 13. Faiz Subri (11. Azrul Ahmad 66′), 7. Jafri Firdaus Chew (21. Failee Ghazli 84′).

Pengadil: Fitri Maskan