Liga Super: Selangor 2 PKNS FC 2

Selangor melepaskan peluang untuk melonjak ke kedudukan teratas Liga Super selepas sekadar seri 2-2 dengan PKNS FC di Stadium Shah Alam, malam tadi, sekali gus gagal mencatat kemenangan ketiga berturut-turut selepas menewaskan Kelantan 1-0 dan Sarawak 2-0.

Sebaliknya Pahang yang menewaskan Perak 2-0 di Kuantan kini merampas tangga teratas Liga Super daripada Terengganu yang sekadar seri 1-1 dengan Kelantan di Kuala Terengganu.

Pahang yang sudah beraksi 10 perlawanan kini mengumpul 19 mata manakala Terengganu dan Selangor yang kurang satu perlawanan mengumpul 17 mata.

Terengganu di tangga kedua berdasarkan kelebihan perbezaan gol untuk mengatasi Selangor di tangga ketiga.

Pada aksi di Shah Alam malam tadi, permainan berlangsung di atas padang yang lembap ekoran hujan yang melanda sekitar Lembah Klang sejak petang sehingga berlarutan ke sebelah malam.

Malah jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic terpaksa mencuba gandingan serangan baru – A Thamil Arasu dan Hazwan Bakri berikutan penggempur utamanya, Paulo Rangel digantung satu perlawanan akibat mengumpul tiga kad kuning.

Manakala jurulatih PKNS, Wan Jamak Wan Hassan pula tidak dapat menurunkan ketua pasukan, Fauzan Dzulkifli dan Abd Ghani Abd Rahman yang turut menjalani penggantungan perlawanan.

Gol pertama Selangor hadir pada minit ke-18 menerusi jaringan sendiri Helmi Remeli yang tertanduk ke gawang sendiri bola hantaran lintang Abdul Hadi Yahya dari sebelah kanan.

Namun hanya empat minit diperlukan PKNS untuk menyamakan kedudukan 1-1 menerusi tandukan Aminuddin Mohd Noor selepas penjaga gol Selangor, Farizal Marlias meninggalkan gawangnya untuk cuba menghalang percubaan awal Patrick Ronaldinho Wleh.

Kedudukan 1-1 itu kekal sehingga waktu rehat separuh masa pertama.

Pada minit ke-67 , PKNS terpaksa beraksi 10 pemain selepas pemain tengahnya, Nazmi Faiz Mansor dilayangkan kad kuning kedua disusuli kad merah akibat kekasaran dilakukannya terhadap kapten Selangor, Bunyamin Umar.

Namun PKNS pula yang berjaya memperolehi gol kedua menerusi satu serangan balas pada minit ke-72 apabila Aminuddin sekali lagi menggegar gawang Selangor selepas menyudahkan lorongan Ronaldinho Wleh dari sebelah kanan.

Durakovic segera membawa masuk penyerang tinggi lampai, Afiq Azmi menggantikan Hazwan untuk memberi nafas baru di barisan serangan Selangor.

Strategi itu berhasil apabila Afiq hanya memerlukan seminit untuk menanduk masuk gol penyamaan Selangor pada minit ke-74 selepas menerima hantaran lintang pemain sayap dari Indonesia, Andik Vermansah dari sebelah kanan.

Selangor selepas itu mendapat beberapa lagi peluang terbaik untuk menambah jaringan, namun tetap gagal membolosi gawang PKNS yang dikawal Zamir Selamat untuk kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan satu mata.

Bagi perlawanan seterusnya, Selangor akan bertemu Hanoi T&T untuk aksi keempat Piala AFC di Stadium Shah Alam, Selasa ini sebelum saingan Liga Super bersambung dengan Selangor bertandang ke Stadium Perak, Ipoh untuk bertemu Perak, Sabtu ini.

SELANGOR: 25. Farizal Marlias, 12. Bunyamin Umar (c), 4. Steve Pantelidis, 5. Shahrom Kalam, 16. S Kunanlan, 14. Abdul Hadi Yahya (10. Junior Aparecido ’56), 15. K Gurusamy (24. Fittri Shazwan Raduwan ’90), 23. S Veenod, 7. Andik Vermansah, 11. Hazwan Bakri (19. Afiq Azmi ’73), 20. A Thamil Arasu.

PKNS FC: 18. Zamir Selamat, 20. Aminuddin Mohd Noor (12. Ally Imran Samarkhan ’83), 21. Helmi Remeli (c), 23. Hamka Hamzah, 15. P Gunalan, 2. Faiz Isa (14. Fakhrul Aiman Sidid ’65), 8. Khairu Azrin Khazali, 24. Kim Dong Chen (10. Karlo Primorac ’61), 5. Shahrul Azhar Ture, 7. Nazmi Faiz Mansor, 4. Patrick Ronaldinho Wleh.

Pengadil: Amirul Izwan Yaacob