Liga Super: Selangor 1 Sime Darby FC 0

Selangor berjaya meraih tiga mata penuh selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Sime Darby FC di Stadium Shah Alam, malam tadi untuk kini berkelebihan lima mata di tangga teratas saingan Liga Super yang hanya berbaki enam perlawanan.

Gol tunggal hasil sepakan penalti penyerang import dari Brazil, Paulo Rangel pada minit ke-37 sudah cukup untuk memberikan tiga mata penuh buat Selangor yang memintas kedudukan teratas Liga Super selepas menewaskan pendahulu sebelumnya, Pahang 1-0 di Kuantan, minggu lalu.

Selepas 16 perlawanan, Selangor kini mengumpul 34 mata diikuti Pahang 29 mata, Terengganu 28 mata, Johor Darul Ta’zim (JDT) 26 mata dan Sarawak 25 mata. JDT bagaimanapun kurang satu perlawanan dan akan bertemu Lions XII di Stadium Jalan Besar, Selasa ini.

Di Stadium Shah Alam malam tadi, permainan seimbang dipertonton kedua-dua pasukan pada separuh masa pertama sebelum Selangor dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-36 apabila Andik Vermansah dijatuhkan Yosri Derma Raju.

Rangel yang ditugaskan mengambil sepakan penalti itu seminit kemudian mudah menewaskan penjaga gol Sime Darby, Suffian Ab Rahman untuk gol pendahuluan Selangor.

Pada minit ke-52, Selangor sepatutnya mampu memperolehi gol kedua, namun Abdul Hadi Yahya mempersiakan peluang terbuka apabila gagal menyepak tepat bola muntah dari dakapan Suffian selepas sepakan percuma Rangel.

Sime Darby kendalian Ismail Zakaria sesekali menghadirkan resah buat benteng pertahanan Selangor, namun tiada banyak percubaan berbahaya mereka yang mampu mengancam gawang Selangor dikawal Farizal Marlias.

Biarpun sekadar menang tipis 1-0, jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic tetap gembira dengan tiga mata penuh yang berjaya diraih pasukannya itu memandangkan kesukaran diberikan Sime Darby sepanjang perlawanan.

“Bukan satu perlawanan yang mudah kerana Sime Darby ternyata sebuah pasukan yang cukup baik. Tapi saya rasa para pemain saya sudah beri segala yang mereka ada. Jadi kami memang layak untuk menang.

“Saya gembira dengan cara kami bermain, kami menguasai keseluruhan permainan dan mungkin mampu memperolehi tambahan satu atau dua gol lagi. Tapi menang sudah memadai biarpun dengan jaringan 1-0,” kata Durakovic selepas perlawanan.

Tambah pengendali berusia 49 tahun itu lagi: “Saya tak kisah jika orang nak kata kami hanya menang tipis. Jika kami jaring gol dan lawan gagal jaring gol, tetap kami menang.

“Ya memang kami mahu dapatkan lebih jaringan. Kami memiliki banyak peluang tetapi gagal disempurnakan. Tapi kami tetap menang.”

Selangor selepas ini akan bertemu JDT di Stadium Shah Alam, Sabtu ini dan Durakovic cukup mengharapkan jumlah penyokong Selangor lebih ramai untuk membanjiri stadium berbanding kira-kira 15,000 yang hadir malam tadi.

“Sudah tentu satu perlawanan yang hebat bertemu JDT nanti. Saya harap lebih ramai penyokong Selangor akan hadir. Kami mengambil pendekatan fokus satu perlawanan ke satu perlawanan. Saya gembira dengan cara kami bermain.

“Kami akan mengadakan latihan pemulihan esok (hari ini) dan saya akan menilai jika ada pemain-pemain yang tercedera. Kami perlu lakukan persiapan rapi kerana JDT pasukan yang cukup hebat,” ujar Durakovic yang pasti mahu membalas kekalahan 4-1 kepada JDT pada aksi pusingan pertama di Larkin.

[match id=306]

SELANGOR: 25. Farizal Marlias, 12. Bunyamin Umar (c), 4. Steve Pantelidis, 17. Rizal Fahmi Rosid, 3. Azmi Muslim, 16. S Kunanlan, 23. S Veenod. 6. Shukur Jusoh (20. A Thamil Arasu ’75), 7. Andik Vermansah (24. Fittri Shazwan Raduwan ’84), 14. Abdul Hadi Yahya (8. Nazmi Faiz Mansor ’57), 9. Paulo Rangel.

SIME DARBY: 22. Suffian Ab Rahman, 19. Firdaus Faudzi, 6. Fairuz Abd Aziz, 15. Yosri Derma Raju, 21. K Prabakaran, 7. Fahrul Radzi Kamarudin, 9. Dilshod Sharofetdinov, 20. Fadzli Saari (c) (8. Syukur Saidin ’71), 5. Arif Ismail (38. Dzulfahmi Abdul Hadi ’39), 14. Mahmoud Al Amna (16. Fazrul Hazli Kadri ’82), 26. Mateo Roskam.

Pengadil: Azman Jamaluddin