Liga Super: Selangor 1 Perak 0

SELANGOR terus menguasai tangga teratas Liga Super setelah berjaya menewaskan pesaing terdekat, Perak 1-0 di Stadium Shah Alam malam tadi.

Setelah Selangor merampas kedudukan teratas daripada Kelantan pada Selasa lalu, Terengganu sempat menghuni takhta itu untuk tempoh 24 jam apabila menang 1-0 ke atas Felda United kelmarin.

Namun jaringan tunggal Safiq Rahim pada minit ke-68 membolehkan Selangor kembali menguasai Liga Super dengan 26 mata diikuti Terengganu (24), Perak (22) dan Kelantan (21) selepas 12 perlawanan.

Perlawanan ke-13 yang merupakan aksi terakhir pusingan pertama bakal berlangsung Selasa ini dengan Selangor menanti kunjungan Sabah yang berjaya mengikat Kelantan 0-0 di Kota Bharu malam tadi.

Di Stadium Shah Alam, aksi separuh masa pertama memperlihatkan permainan seimbang kedua-dua pasukan tetapi Selangor melakukan serangan yang lebih berbahaya berbanding Perak.

Babak kedua bersambung, Perak terlebih dahulu menguji gawang Saiful Amar Sudar tetapi gerakan solo Akmal Rizal Rakhli disudahi dengan sepakan yang sedikit melewati palang gol pada minit ke-52.

Tiga minit kemudian, hantaran lintang Amirulhadi Zainal dari sebelah kanan sempat ditepis baik Nasril Nourdin ketika Fadzli Saari sudah bersedia melakukan tandukan.

Perak memasukkan Razali Umar Kandasamy menggantikan Shafiq Jamal pada minit ke-57 manakala Selangor memasukkan Hardi Jaafar menggantikan Asraruddin Putra Omar tiga minit selepas itu.

Pada minit ke-63, hantaran cantik Amri Yahyah dari sebelah kiri hanya disepak tinggi oleh Safiq dari kawasan tengah kotak penalti Perak.

Dua minit kemudian, sepakan percuma Hardi pula sekadar menggegar palang gol Perak.

Gol yang dicari Selangor akhirnya menjelma pada minit ke-68 apabila Safiq yang tidak dikawal dalam kotak penalti tenang melepaskan sepakan yang gagal diselamatkan Nasril.

Kedudukan 1-0 itu kekal sehingga wisel penamat untuk memberikan Selangor tiga mata penuh yang cukup berharga.

SELANGOR: 21. Saiful Amar Sudar, 3. Razman Roslan, 5. Khairul Anuar Baharum, 6. Nasriq Baharom, 15. P. Gunalan, 20. Amirulhadi Zainal (9. Rudie Ramli), 8. Safiq Rahim, 18. Azidan Sarudin, 4. Asraruddin Putra Omar (14. Hardi Jaafar), 17. Amri Yahyah (c), 23. Fadzli Saari (12. Bunyamin Umar).

PERAK: 25. Nasril Nourdin, 4. Syahman Zainuddin, 6. Syazwan Roslan, 24. Hisyamudin Shaari, 19. Mohd. Noor Hazrul Mustafa, 16. Fazrul Hazli Kadri, 8. Shahrulnizam Mustapa (c), 17. K. Nanthakumar, 22. Isma Alif Salim (30. Shazuan Ashraf Mathews), 9. Shafiq Jamal (23. Razali Umar Kandasamy), 14. Akmal Rizal Rakhli.

PENGADIL: Zohri Tajuddin

Lagi gambar dari perlawanan Selangor lawan Perak>> KLIK DI SINI