Liga Super: Selangor 1 Melaka 1

Selangor berjaya mengikat pendatang baharu yang juga juara Liga Premier musim lalu, Melaka 1-1 pada perlawanan kedua Liga Super 2017 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.

Pemain import baharu dari Romania, Victor Astafei muncul penyelamat skuad Red Giants apabila berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-81 selepas Melaka mendahului tuan rumah menerusi jaringan Khairu Azrin Khazali pada minit ke-69.

Satu mata diraih itu menyaksikan Selangor kendalian P Maniam yang berada di tangga teratas minggu lalu selepas menewaskan Pulau Pinang 2-0 kini turun ke tangga ketiga berdasarkan perbezaan gol meskipun terikat empat mata dengan pendahulu baharu, Pahang yang membelasah T-Team 5-0 dan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) di tangga kedua selepas menewaskan Felda United 3-1.

Kedah dan Perak masing-masing di tangga keempat dan kelima turut mengumpul empat mata.

Pada aksi malam tadi, kedua-dua pasukan gagal menjelmakan percubaan tepat berbahaya ke arah gawang lawan masing-masing sehinggalah sepakan percuma jarak jauh pemain pertahanan kiri Melaka, Ahmad Khuzaimi Piee pada minit ke-16 berjaya ditepis keluar Norazlan Razali yang kembali menjaga gawang Selangor selepas pulih daripada kecederaan menggantikan Zarif Irfan Hashimuddin yang beraksi minggu lalu.

Dua minit berselang, Melaka kendalian jurulatih baharu, Eric Williams beroleh satu lagi peluang terbaik, kali ini menerusi pemain sayap, Syed Sobri Syed Mohd, namun percubaannya dalam kotak penalti pantas dihadang keluar pemain pertahanan Selangor, Rizal Fahmi Ab Rosid.

Selepas itu barulah Selangor pula mendapat beberapa peluang terbaik antaranya tandukan Ugo Ukah selepas sepakan penjuru Raimi Md Nor yang sedikit tersasar pada minit ke-26 diikuti percubaan S Veenod selepas menerima lorongan Abdul Halim Zainal yang sedikit tinggi pada minit ke-33.

Peluang terbaik Selangor memecah kebuntuan hadir pada minit ke-36, namun percubaan depan gol Francis Forkey Doe berjaya dihadang keluar pemain pertahanan Melaka, G Puaneswaran di atas garisan gol dan kedudukan tanpa jaringan kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Babak kedua bersambung, Maniam membawa masuk Astafei menggantikan Abdul Halim pada minit ke-53 bagi menguatkan jentera depannya sementara Melaka terus mempertaruhkan gandingan ketua pasukan, Ilija Spasojevic dan bekas pemain Selangor, Amri Yahyah untuk mengetuai jentera depan mereka.

Pada minit ke-60, Forkey Doe sekali lagi terlepas peluang terbaik memecah kebuntuan selepas percubaan kaki kirinya sempat diselamatkan penjaga gol Melaka.

Sebaliknya Melaka yang akhirnya berjaya memperoleh gol pertama pada minit ke-69 selepas Khairu Azrin diberikan ruang terbuka untuk melepaskan sepakan lencong menarik dari luar kotak penalti yang gagal diselamatkan oleh Norazlan di penjuru gawangnya.

Dalam usaha mencari gol penyamaan, Maniam melengkapkan pertukaran pemainnya dengan memasukkan Afiq Azmi dan K Kannan serentak pada minit ke-78 menggantikan Rizal Fahmi dan Adam Nor Azlin.

Hasilnya Selangor berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-81 selepas sepakan penjuru Raimi berjaya ditanduk kemas Astafei menewaskan Badrulzaman di gawang Melaka.

Selangor hampir beroleh gol kemenangan pada minit ke-90, namun tandukan Ukah selepas sepakan penjuru Raimi sedikit tinggi melewati palang gol untuk kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan berkongsi satu mata.

Seterusnya, Selangor akan bertandang ke Stadium Shah Alam untuk bertemu PKNS FC pada perlawanan ketiga Liga Super 2017 pada Sabtu, 4 Februari ini.

SELANGOR: 21. Norazlan Razali; 13. Razman Roslan (C), 18. Ugochukwu Ukah, 17. Rizal Fahmi Rosid (19. Afiq Azmi 78′); 20. Syahmi Safari, 8. Saiful Ridzuwan Selamat, 4. Abdul Halim Zainal (30. Victor Astafei 53′), 15. Raimi Md Nor; 9. Adam Nor Azlin (3. K Kannan 78′), 10. Francis Forkey Doe, 23. S Veenod.

MELAKA: 20. Badrulzaman Abd Halim; 27. G Puaneswaran, 25. Godwin Antwi, 26. Khair Jefri Jones, 12. Ahmad Khuzaimi Piee (19. Jeon Woo Young 62′); 10. Sergio Aguero (24. Fauzi Rozlan 87′), 8. Ahmed Ezrie Shafizie Sazali, 13. Khairu Azrin Khazali (3. Faizal Muhamad 74′), 22. Syed Sobri Syed Mohd; 17. Amri Yahyah, 9. Ilija Spasojevic (C).

Pengadil: Nazmi Nasaruddin