Liga Super: Selangor 1 Lions XII 0

Selangor melakar sejarah tersendiri di Stadium Shah Alam, malam tadi apabila buat kali pertamanya berjaya menewaskan pasukan dari Singapura, Lions XII menerusi kemenangan tipis 1-0 ke atas skuad kendalian Fandi Ahmad itu untuk terus mengekori rapat pendahulu Liga Super, Pahang.

Berdasarkan rekod sepanjang lima pertemuan sebelum ini sejak Lions XII menyertai Liga Malaysia pada musim 2012, Selangor hanya berjaya mengikat pasukan juara bertahan Liga Super itu sebanyak tiga kali dan tewas sebanyak dua kali tetapi belum pernah berjaya mencatat kemenangan.

Gol tunggal kemenangan malam tadi diperolehi pada minit ke-23 menerusi tandukan pemain import dari Australia, Steve Pantelidis yang khidmatnya dikekalkan selepas Selangor membatalkan hasrat untuk mendaftarkan pemain import baru dari Brazil, Cleber Barbosa Viana atau dikenali sebagai Clebinho.

Ia berpunca daripada sepakan penjuru diambil Andik Vermansah dari sebelah kanan yang ditanduk semula ke tengah oleh Paulo Rangel sebelum disudahkan Pantelidis untuk menewaskan penjaga gol Lions, Izwan Mahbud.

Kemenangan di hadapan kira-kira 15,000 penyokong setia Red Giants itu membolehkan Selangor terus kekal di tangga kedua Liga Super dengan 27 mata, hanya ketinggalan satu mata di belakang Pahang yang mengumpul 28 mata selepas mencatat kemenangan 4-1 ke atas Sime Darby di Stadium Darul Makmur, malam tadi.

Johor Darul Ta’zim (JDT) mengekori rapat di tangga ketiga dengan 25 mata diikuti Sarawak 22 mata, Terengganu 21 mata manakala Lions XII di tangga keenam, juga dengan 21 mata.

Kesemua pasukan sudah beraksi 14 perlawanan kecuali Selangor dan Terengganu yang kurang satu perlawanan kerana kedua-dua pasukan hanya akan bertemu pada aksi tunggal Liga Super di Stadium Shah Alam, 4 Mei ini.

Perlawanan Liga Super yang lain hanya akan bersambung semula pada 9 dan 10 Mei ini selepas saingan berhenti rehat seketika untuk memberi laluan kepada perlawanan persahabatan antarabangsa Malaysia bertemu Filipina di Cebu, 27 April ini.

Jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic ketika ditemui selepas perlawanan berkata, beliau tetap gembira meskipun pasukannya hanya menang dengan jaringan tipis 1-0 kerana turut merasai sendiri keletihan dialami para pemainnya yang sudah mengharungi 12 perlawanan dalam tempoh 40 hari sejak aksi bertemu Maziya di Male, Maldives, 11 Mac lalu.

“Sudah tentu saya berasa cukup gembira dan teruja dengan kemenangan ke atas Lions XII ini selepas kami terpaksa beraksi sebanyak 12 perlawanan Liga Super dan Piala AFC secara berterusan sepanjang 40 hari.

“Ia sesuatu yang cukup hebat berjaya dilaksanakan para pemain saya dan ia satu pengalaman baru buat kami. Jadi tahniah buat para pemain atas usaha keras mereka pada perlawanan ini dan terima kasih juga buat penyokong yang memberikan sokongan cukup padu,” kata Durakovic.

Pengendali dari Australia itu juga menyatakan bahawa beliau tidak bimbang Selangor sekadar mencatat kemenangan tipis 1-0 dalam tiga daripada empat perlawanan terakhir Liga Super selain sekadar seri 1-1 dengan T-Team pada satu lagi perlawanan.

“Saya tak risau tetapi saya cukup gembira kerana kami tetap mampu mencipta banyak peluang. Itu yang lebih penting.

“Lihat saja dalam perlawanan ini, kami sebenarnya boleh menambah dua atau tiga gol lagi apabila Rangel, Thamil Arasu dan Pantelidis mempunyai beberapa peluang terbaik. Apa yang lebih penting, kami dapat terus mengutip tiga mata penuh,” jelas Durakovic.

Selangor selepas ini akan bertemu kelab Maldives, Maziya pada perlawanan terakhir Kumpulan F, Piala AFC 2014 di Stadium Shah Alam, jam 6 petang Rabu ini.

SELANGOR: 25. Farizal Marlias, 12. Bunyamin Umar (c), 5. Shahrom Kalam, 17. Rizal Fahmi Rosid, 3. Azmi Muslim, 16. S Kunanlan, 4. Steve Pantelidis, 23. S Veenod, 7. Andik Vermansah (24. Fittri Shazwan Raduwan ’83), 20. A Thamil Arasu (6. Shukur Jusoh ’81), 9. Paulo Rangel (19. Afiq Azmi ’90).

LIONS XII: 1. Izwan Mahbud, 6. Madhu Mohana, 2. Shakir Hamzah, 3. Afiq Yunos, 8. Hafiz Abu Sujad (11. Nazrul Nazari ’58), 17. Faris Ramli, 16. Raihan Abdul Rahman, 21. Safuwan Baharudin (c), 13. Aqhari Abdullah (23. Zulfahmi Arifin ’45), 19. Khairul Amri Kamal, 15. Sufian Anuar (24. Firdaus Kasman ’66).

Pengadil: Mohd Nafeez Abdul Wahab