Liga Super: Selangor 1 Kelantan 0

Selangor kembali ke kelompok empat teratas Liga Super selepas berjaya mencatat kemenangan 1-0 ke atas Kelantan di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Ia perlawanan sulung Selangor di Stadium Shah Alam musim ini selepas siap kerja-kerja baik pulih padang dan bumbung dengan skuad kendalian Mehmet Durakovic itu sebelum ini terpaksa menggunakan Stadium MBPJ, Kelana Jaya sebagai gelanggang sendiri sementara.

Ternyata aura Stadium Shah Alam yang dibanjiri kira-kira 15,000 penyokong setia Selangor malam tadi memberi tuah buat pasukan tuan rumah yang kembali berjaya menemui sentuhan kemenangan selepas kemarau dalam lima perlawanan terakhir.

Selepas menewaskan Sime Darby 2-1 di Stadium Selayang pada 8 Februari lalu, Selangor tewas 4-1 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) di Larkin pada 15 Februari diikuti keputusan seri 1-1 dengan ATM di Selayang pada 15 Mac lalu.

Tiga perlawanan awal Kumpulan F, Piala AFC 2014 turut menyaksikan Selangor gagal meraih kemenangan apabila seri 1-1 dengan Arema Indonesia di Selayang pada 25 Februari, seri 1-1 dengan Maziya di Male, Maldives pada 11 Mac dan tewas 1-0 kepada Hanoi T&T di Hanoi, Vietnam pada 19 Mac lalu.

Kemarau kemenangan selama enam minggu itu akhirnya berjaya ditamatkan malam tadi menerusi jaringan tunggal penjaring utama Selangor, Paulo Rangel yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-21.

Ia gol Liga Super kelapan buat Rangel musim ini dan satu-satunya pemain lain yang berjaya meletakkan nama dalam senarai penjaring untuk keseluruhan sembilan gol Selangor dalam saingan liga setakat ini ialah Fittri Shazwan Raduwan ketika Selangor tewas 2-1 kepada Lions XII di Singapura, 25 Januari lalu.

Terdahulu, permainan ternyata dikuasai Selangor pada awal babak permainan dengan ujian pertama hadir pada minit keenam, namun sepakan percuma dari sebelah kanan diambil K Gurusamy yang ditanduk kemas Rangel berjaya ditepis keluar penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

Kelantan yang kurang mengasak akhirnya mendapat peluang terbaik pada minit ke-15, namun rembatan jarak jauh pemain importnya, Mohamed Shawky sedikit sipi melewati gawang Selangor.

Penyokong Selangor resah seketika selepas pengadil, Nafeez Abdul Wahab memberikan sepakan penalti kepada Kelantan pada minit ke-18 selepas Shawky dijatuhkan pemain pertahanan kiri, S Kunanlan di penjuru kotak penalti Selangor.

Mujur sepakan penalti yang diambil penyerang import Kelantan, Francis Forkey Doe yang juga bekas pemain Selangor musim lalu berjaya dibaca dengan baik oleh Farizal Marlias dan ditepis kemas penjaga gol Selangor itu untuk mengekalkan kedudukan 0-0.

Menerusi gerakan solo Rangel pada minit ke-20, penyerang import dari Brazil itu dijatuhkan pemain pertahanan kanan Kelantan, Tuan Faim Tuan Zainal Abidin untuk Nafeez menghadiahkan pula sepakan penalti kepada Selangor.

Rangel yang mengambil sepakan penalti itu seminit kemudian, mudah menewaskan Khairul Fahmi untuk gol pertama Selangor.

Kedudukan 1-0 itu kekal sehingga rehat separuh masa pertama.

Seawal minit ke-56, jurulatih Kelantan, Steve Darby membuat pertukaran pertama dengan membawa masuk penyerang, Khairul Izuan Rosli menggantikan Amar Rohidan untuk menguatkan jentera serangannya.

Bagaimanapun dua minit berselang, Selangor sepatutnya sudah menjarakkan kedudukan tetapi Rangel yang tidak dikawal gagal menyudahkan peluang di hadapan pintu gol Kelantan apabila percubaannya sedikit tersasar.

Pada minit ke-74, Rangel sekali lagi berpeluang menambah jaringan, namun kali ini sepakannya dari dalam kotak penalti berjaya dihadang kemas Khairul Fahmi.

Bagi memberi tenaga baru di barisan depan, Durakovic melakukan pertukaran pertama pada minit ke-78 dengan memasukkan penyerang tinggi lampai, Afiq Azmi menggantikan A Thamil Arasu.

Namun jentera depan Selangor gagal menambah jaringan sebaliknya Kelantan hampir mendapat gol penyamaan pada minit ke-90, mujur percubaan Ahmad Fakri Saarani selepas satu sepakan percuma berjaya ditepis keluar Farizal yang bertindak cemerlang.

Peluang terakhir Selangor hadir pada masa kecederaan menerusi Hazwan Bakri yang dimasukkan menggantikan Abdul Hadi Yahya tetapi sepakan bekas penyerang Harimau Muda A itu berjaya dihadang sekali lagi oleh Khairul Fahmi untuk kedudukan 1-0 itu kekal sehingga wisel penamat.

Kemenangan itu meletakkan Selangor kini di tangga keempat Liga Super, berkongsi 13 mata dengan pendahulu, Terengganu serta pasukan tangga kedua dan ketiga, Pahang dan Kelantan, tetapi keempat-empat pasukan itu dipisahkan dengan perbezaan gol.

Namun Selangor dan Terengganu baru beraksi tujuh perlawanan berbanding semua pasukan lain yang sudah pun beraksi lapan perlawanan. Ini kerana pertemuan Selangor dan Terengganu yang sepatutnya berlangsung 8 Mac lalu dipinda jadualnya ke 4 Mei depan di Stadium Shah Alam.

Selangor seterusnya akan bertemu pasukan tangga kelima, Sarawak di Stadium Negeri, Kuching pada Selasa ini disusuli aksi di gelanggang sendiri bertemu PKNS FC di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

SELANGOR: 25. Farizal Marlias, 12. Bunyamin Umar (c), 4. Steve Pantelidis, 5. Shahrom Kalam, 16. S Kunanlan, 14. Abdul Hadi Yahya (11. Hazwan Bakri ’90), 23. S Veenod, 15. K Gurusamy, 7. Andik Vermansah (24. Fittri Shazwan Raduwan ’84), 20. A Thamil Arasu (19. Afiq Azmi ’78), 9. Paulo Rangel.

KELANTAN: 19. Khairul Fahmi Che Mat, 2. Tuan Faim Tuan Zainal Abidin (5. Nik Shahrul Azim Ab Halim ’63), 4. Obinna Nwaneri, 6. Farisham Ismail, 24. Zairul Fitree Ishak (7. Tengku Hasbullah Raja Hassan ’62), 12. Amar Rohidan (23. Khairul Izuan Rosli ’56), 16. Badhri Radzi (c), 17. Mohamed Shawky, 8. Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, 13. Ahmad Fakri Saarani, 10. Francis Forkey Doe.

Pengadil: Nafeez Abdul Wahab