Liga Super: Selangor 1 Kedah 1

Selangor berjaya mengikat Kedah 1-1 pada perlawanan ketujuh Liga Super 2017 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi untuk kembali merampas tangga ketiga liga daripada juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Terdahulu, JDT merampas seketika kedudukan Selangor selepas menundukkan Sarawak 2-0 di Kuching tatkala Pahang memintas Kedah di tangga teratas selepas membenam PKNS FC 3-0 di Kuantan pada dua aksi yang berlangsung awal sehari, kelmarin.

Namun keputusan seri 1-1 di Selayang malam tadi menyaksikan Pahang kekal di tangga teratas liga dengan 16 mata diikuti Kedah 15 mata, Selangor 12 mata, JDT 11 mata manakala Perak kekal 11 mata selepas tewas 4-2 kepada Kelantan di Ipoh, malam tadi.

Tatkala Kedah hampir pasti membawa pulang tiga mata penuh menerusi jaringan pemain gantian, Sandro Da Silva pada minit ke-81, jaringan penyamaan Selangor hadir pada minit kelima masa kecederaan menerusi Juliano Mineiro untuk kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.

Pada aksi malam tadi, Selangor kendalian P Maniam kembali mendapat sentuhan pemain tengah, Saiful Ridzuwan Selamat yang selesai penggantungan satu perlawanan tetapi tanpa penyerang utama, Francis Forkey Doe yang mengalami kecederaan ketika aksi bertemu Kelantan di Kota Bharu, Sabtu lalu.

Sementara Kedah bimbingan Tan Cheng Hoe tanpa dua tonggak utamanya, Baddrol Bakhtiar dan Ahmad Fakri Saarani yang cedera sementara Sandro hanya diletakkan di bangku simpanan.

Pemain import Selangor, Victor Astafei berjaya menggegar gawang Kedah seawal minit ke-11, namun jaringannya itu dibatalkan pengadil kerana telah dikesan berkedudukan ofsaid.

Biarpun Kedah banyak menguasai permainan selepas itu, mereka tampak buntu untuk memecah benteng pertahanan Selangor yang diterajui Razman Roslan, Ugochukwu Ukah dan Rizal Fahmi Ab Rosid sambil penjaga gol, Khairulazhan Khalid turut cemerlang memintas beberapa bola hantaran pemain bahagian depan lawan.

Pada minit ke-31, sepakan percuma Mineiro hampir menghasilkan sesuatu, namun ia sempat ditumbuk keluar penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Che Kassim.

Terikat tanpa jaringan pada babak pertama, Cheng Hoe membawa masuk Syazwan Zainon menggantikan Fitri Omar sebaik babak kedua bersambung sementara Maniam membawa masuk Adam Nor Azlin menggantikan Abdul Halim Zainal bagi menajamkan jentera depannya.

Kedah akhirnya berjaya memperoleh gol pertama pada minit ke-81 menerusi sepakan percuma menarik Sandro yang tepat ke tiang kiri sebelum melantun masuk ke gawang Selangor untuk menggamamkan Khairulazhan yang tidak mampu berbuat apa-apa.

Bagi memberi tenaga baharu, Maniam melengkapkan dua pertukaran pemain dengan membawa masuk penyerang pinjaman dari Melaka, Nurshamil Abd Ghani pada minit ke-84 dan pemain sayap, Fittri Shazwan Raduwan pada minit ke-89.

Pada minit ke-91, penyokong Selangor hampa seketika apabila sepakan percuma Mineiro sedikit tinggi melewati palang gol Kedah.

Namun Selangor kembali ceria apabila akhirnya dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-94 selepas pemain sayap kanan, Syahmi Safari dijatuhkan pemain tengah Kedah, Akram Mahinan.

Sepakan penalti yang diambil Astafei berjaya ditepis Ifwat Akmal, namun Mineiro pantas meluru ke hadapan pintu gol Kedah menyudah masuk bola susulan untuk gol penyamaan Selangor pada minit ke-95 bagi mengikat kedudukan 1-1.

Selangor selepas ini akan menanti kunjungan Perak kendalian Mehmet Durakovic di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Sabtu ini sebelum saingan liga berehat lima minggu untuk memberi laluan kepada aksi Piala FA, Piala AFC dan perlawanan antarabangsa skuad kebangsaan.

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid; 13. Razman Roslan (C), 18. Ugochukwu Ukah, 17. Rizal Fahmi Ab Rosid (27. Nurshamil Abd Ghani 84′); 20. Syahmi Safari, 8. Saiful Ridzuwan Selamat, 4. Abdul Halim Zainal (9. Adam Nor Azlin 58′), 15. Raimi Md Nor (24. Fittri Shazwan Raduwan 89′); 30. Victor Astafei, 28. Juliano Mineiro, 23. S Veenod.

KEDAH: 25. Ifwat Akmal Che Kassim; 15. Rizal Ghazali, 4. Zac Anderson, 13. Khairul Helmi Johari (C), 24. Asri Mardzuki; 8. Liridon Krasniqi, 16. Amirul Hisyam Awang Kechik (10. Sandro Da Silva 60′), 12. Akram Mahinan, 3. Fitri Omar (22. Syazwan Zainon 46′); 20. Syafiq Ahmad (23. Hanif Mat Dzahir 76′), 9. Ken Ilso.

Pengadil: Mohd Zohri Tajudin