Liga Super: Selangor 1-0 Pahang

Gol tunggal Paulo Rangel pada minit ke-56 memastikan Selangor mencatat kemenangan 1-0 ke atas Pahang dalam perlawanan ketiga Liga Super yang berlangsung di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, petang semalam.

Kemenangan itu bukan saja menaikkan semula moral pasukan selepas tewas 2-1 kepada juara bertahan, Lions XII di Stadium Jalan Besar Sabtu lalu, malah melonjakkan Selangor kini ke tangga teratas Liga Super berikutan kekalahan Kelantan kepada PKNS FC 2-1 di Kota Bharu, malam tadi.

Selepas tiga perlawanan, lima pasukan di kelompok teratas – Selangor, Terengganu, ATM, PKNS FC dan Kelantan berkongsi enam mata tetapi Selangor di tangga teratas berdasarkan kelebihan perbezaan gol.

Pada aksi petang semalam, Selangor hampir dikejutkan seawal minit ke-6, namun rembatan Azammuddin Akil yang menyambut lorongan Damion Stewart biarpun menggegar palang dan sudah pun melepasi garisan gol, dibatalkan pengadil selepas dia dikesan berkedudukan ofsaid.

Peluang terhidang buat Selangor pada minit ke-9 apabila lambungan jauh Fittri Shazwan Raduwan gagal dikeluarkan pertahanan Pahang, Zesh Rehman sekali gus membuka peluang buat Junior Aparecido tetapi percubaannya dihadang penjaga gol Pahang, Khairul Azhan Khalid.

Seminit kemudian, gawang Selangor pula diuji, kali ini menerusi rembatan dari luar kotak penalti oleh penyerang import, Matias Conti yang sempat ditepis keluar penjaga gol Selangor, Farizal Marlias.

Permainan selepas itu lebih berlegar di tengah padang sehinggalah pada minit ke-40 apabila Azidan Sarudin yang hanya berdepan Farizal selepas menerima hantaran lintang Hafiz Kamal di sebelah kanan, sekadar melepaskan rembatan tinggi melewati palang gol.

Kedudukan separuh masa pertama terikat 0-0.

Bersambung separuh masa kedua, Selangor bermula garang apabila percubaan di depan pintu gol Pahang oleh S Kunanlan sedikit tinggi pada minit ke-45.

Akhirnya gol yang dicari Selangor terhasil pada minit ke-56 selepas hantaran lintang Junior dari sebelah kanan ditanduk cantik Rangel ke penjuru gawang Pahang untuk menjadikan kedudukan 1-0.

Peluang terbaik Pahang selepas itu untuk menyamakan kedudukan hadir pada minit ke-82, namun hantaran lintang R Gopinathan dari sebelah kiri yang mencari Fauzi Rozlan berjaya dipintas pertahanan Selangor, Azmi Muslim yang menanduk bola keluar.

Tatkala jurulatih Pahang, Ronald Smith sudah pun membuat tiga pertukaran setakat minit ke-85, jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic hanya melakukan dua pertukaran lewat, membawa masuk S Veenod menggantikan Fittri Shazwan Raduwan pada minit ke-89 dan pemain import dari Indonesia, Andik Vermansah menggantikan Junior pada masa kecederaan.

Kedudukan 1-0 itu kekal sehingga wisel penamat untuk memberikan tiga mata penuh buat Selangor.

Saingan Liga Super berehat seketika dan Selangor selepas ini bakal bertemu Sarawak di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, 4 Februari ini untuk perlawanan pusingan kedua Piala FA.

[match id=223]

SELANGOR: 25. Farizal Marlias, 12. Bunyamin Umar (c), 5. Steve Pantelidis, 17. Rizal Fahmi Ab Rosid, 3. Azmi Muslim, 16. S Kunanlan, 6. Shukur Jusoh, 15. K Gurusamy, 24. Fittri Shazwan Raduwan (23. S Veenod ’89), 10. Junior Aparecido (7. Andik Vermansah ’90), , 9. Paulo Rangel.

PAHANG: 1. Khairul Azhan Khalid, 13. Razman Roslan (c), 4. Damion Stewart, 6. Zesh Rehman, 20. Shahrizan Salleh, 12. Azammuddin Akil (33. Shafei Zahari ’85), 3. Saiful Nizam Miswan (19. Fauzi Rozlan ’61), 21. Hafiz Kamal (11. Faizol Hussien ’80), 24. R Gopinathan, 8. Azidan Sarudin, 9. Matias Conti.

Pengadil: Mohd Zohri Tajuddin