Liga Super: Selangor 0 Terengganu 0

Selangor gagal memanfaatkan peluang untuk melonjak ke tangga teratas Liga Super selepas seri 0-0 dengan Terengganu di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Dengan keputusan ini, Gergasi Merah kini berada di tangga kedua biarpun berkongsi mata dengan pendahulu, Pahang namun dibezakan dengan perbezaan jaringan, masing-masing mengumpul 28 mata selepas mengharungi 14 perlawanan.

Jurulatih Selangor terpaksa membuat perubahan saat akhir di bahagian benteng selepas pemain import dari Australia, Steve Pantelidis mengalami kecederaan. Gandingan Muhammad Shahrom Abdul Kalam dan Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid dipertaruhkan selepas seorang lagi pemain pertahanan import dari Brazil, Evaldo Silva masih menjalani penggantungan akibat menerima kad merah ketika bertemu Perak bulan lalu.

Pasukan pelawat nyata lebih garang apabila kerapkali mengancam kubu Selangor melalui gandingan penyerang tinggi lampai Javier Estupinan dan Dabo Moustapha. Estupinan hampir membuka tirai jaringan namun tandukannya selepas menerima sepakan percuma Ismail Faruqi berjaya ditolak keluar penjaga gol Selangor, Mohd Farizal Marlias.

Peluang terbaik Selangor di separuh masa pertama hadir menerusi sepakan kencang Andik Vermansah dari luar kotak penalti yang berjaya diselamatkan Mohd Shamirza Yusoff pada minit ke-32.

Terengganu sekali lagi berpeluang memecah kebuntuan namun Ashari Samsuddin yang tidak dikawal berjaya melorongkan bola ke hadapan gawang Selangor namun tidak menemui rakan sepasukan untuk disudahkan.

Selangor menampilkan aksi lebih bertenaga di separuh masa kedua. Pada minit ke-59, A Thamil Arasu gagal menolak masuk peluang terhidang di depan gol biarpun Shamirza sudah pun tertewas.

Seminit selepas itu, Thamil dikeluarkan bagi memberi peluang buat Muhammad Nazmi Faiz Mansor membuat penampilan pertamanya bagi mencorakkan jentera tengah Merah Kuning.

Nyata kemasukan Nazmi memberi lebih sengat kepada barisan tengah tuan rumah. Rizal Fahmi berjaya memperdaya dua bpemain pertahanan Terengganu sebelum melepaskan sepakan yang sedikit tersasar.

Pada minit ke 81, larian pantas S Kunanlan berjaya melepasi perangkap ofsaid lawan, namun ketika hanya berhadapan penjaga gol beliau memilih untuk membuat hantaran bagi mencari rakan sekaligus berjaya dipatahkan.

Dua minit kemudian, Kunanlan yang tidak dikawal sekadar menyepak lemah untuk mudah ditangkap Sharmiza.

Ketika masa tambahan tiga minit, penjaring terbanyak Paulo Rangel hampir menggembirakan ribuan penyokong tuan rumah namun tandukan beliau mengenai tiang gol sebelum dikeluarkan dari kawasan bahaya.

Selangor akan menentang Pahang di Stadium Darul Makmur, 10 Mei ini dalam aksi Liga Super seterusnya.

SELANGOR: 25-Mohd Farizal Marlias, 12-Mohd Bunyamin Umar (c), 3-Mohd Azmi Muslim, 5-Muhammad Shahrom Abdul Kalam, 17-Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, 23-S Veenod, 6-Abdul Shukur Jusoh (19-Muhammad Afiq Azmi), 7-Andik Vermansah, 16-S Kunanlan, 20-A Thamil Arasu (8-Muhammad Nazmi Faiz Mansor), 9-Paulo Rangel

TERENGGANU: 24-Mohd Shamirza Yusoff, 2-Mazlizam Mohammad, 5-Vincent Bikana, 8-Ismail Faruqi Ashaari, 10-Mohd Norfarhan Muhammad (c), 13-Hazmizan Kamarodin, 16-Mohd Zubir Azmi, 18-Ahmad Nordin Alias, 22-Mohd Ashari Samsuddin, 45-Dabo Moustapha, 46-Javier Estupinan

Pengadil: Syed Azhar Syed Kamar