Selangor gagal meraih mata di laman sendiri selepas tewas 1-0 kepada Perak pada perlawanan kelapan Liga Super 2017 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi yang menyaksikan skuad Red Giants terpaksa beraksi 10 pemain sepanjang 25 minit terakhir.

Selepas berjaya menyaingi permainan sepanjang sejam perlawanan, Selangor menghadiahkan sepakan penalti buat Perak selepas bola terkena tangan Ugochukwu Ukah pada minit ke-65, sekali gus pertahanan import Selangor itu dilayangkan kad kuning kedua seterusnya kad merah.

Pemain kebangsaan, Zaquan Adha Abd Radzak mudah menyempurnakan sepakan penalti berkenaan untuk gol tunggal kemenangan Perak pada minit ke-67.

Dengan kekalahan itu, Selangor turun dua anak tangga ke kedudukan kelima liga ketika ini berbekal 12 mata untuk berada di belakang pendahulu Kedah (18), Pahang (16), JDT (14) dan Perak (14).

Pada aksi malam tadi, Selangor kendalian P Maniam turun bersemangat dengan memakai jersi baharu yang dilancarkan pada sebelah petang di Al-Ikhsan Batu 3 Shah Alam oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Dato’ Sri Subahan Kamal.

Maniam melakukan dua perubahan dengan meletakkan penyerang pinjaman dari Melaka, Nurshamil Abd Ghani dalam kesebelasan utama buat kali pertama berikutan ketiadaan Francis Forkey Doe yang tidak beraksi kali kedua selepas kecederaan hamstring ketika bertemu Kelantan di Kota Bharu, 25 Februari lalu manakala Bunyamin Umar menggantikan Rizal Fahmi Rosid di posisi pertahanan.

Babak awal permainan sedikit hambar apabila kedua-dua pasukan gagal menghadirkan percubaan berbahaya tepat ke pintu gol lawan.

Hanya pada minit ke-32, percubaan dari luar kotak penalti Juliano Mineiro berjaya didakap kemas penjaga gol Perak, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.

Menuju waktu rehat, Perak yang dikendalikan bekas jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic beroleh peluang terbaik tetapi tandukan Faton Toski di depan pintu gol Selangor berjaya ditangkap kemas penjaga gol, Khairulazhan Khalid untuk menamatkan separuh masa pertama tanpa jaringan.

Bersambung babak kedua, Selangor hampir berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-57, namun sepakan lencong menarik Raimi Md Nor dari sebelah kanan sempat juga ditepis keluar Hafizul Hakim di penjuru gawang Perak.

Gawang Selangor akhirnya bocor pada minit ke-67 menerusi sepakan penalti Zaquan Adha dan selepas itu, Selangor tampak sukar untuk memburu gol penyamaan kerana terpaksa beraksi 10 pemain tanpa Ukah yang dibuang padang.

Saingan Liga Super 2017 kini berehat selama lima minggu untuk memberi laluan kepada aksi Piala AFC, Piala FA serta dua perlawanan antarabangsa skuad kebangsaan bertemu Filipina dan Korea Utara.

Selepas saingan bersambung nanti, Selangor akan menanti kunjungan Sarawak di Selayang pada 8 April 2017.

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid; 13. Razman Roslan (C), 18. Ugochukwu Ukah, 12. Bunyamin Umar; 20. Syahmi Safari (5. K Satish 82′), 8. Saiful Ridzuwan Selamat, 23. S Veenod, 15. Raimi Md Nor (24. Fittri Shazwan Raduwan 79′); 30. Victor Astafei, 27. Nurshamil Abd Ghani (9. Adam Nor Azlin 74′), 28. Juliano Mineiro.

PERAK: 22. Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy; 19. Jasazrin Jamaluddin, 5. Shahrom Kalam (C), 26. Thiago Junio, 21. Nazirul Naim Che Hashim; 8. Zaquan Adha Abd Radzak (24. Hafiz Ramdan 81′), 3. Shahrul Saad (12. D Kenny Pallraj 77′), 27. Hafiz Kamal, 11. Yashir Pinto; 9. Faton Toski (4. Nasir Basharudin 69′), 17. Vladislav Mirchev.

Pengadil: Nagor Amir Noor Mohamed