Liga Super: Selangor 0 Johor DT 1

Rekod tanpa kalah Selangor pada saingan Liga Super musim ini lebur selepas tewas 1-0 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Gol kemenangan JDT itu dijaringkan penyerang import, Luciano Figueroa pada minit ke-70.

Biarpun tewas, Selangor masih kekal di tangga teratas Liga Super dengan 34 mata tetapi kini hanya dibezakan dua mata dengan JDT di tangga kedua menerusi 32 mata.

Terengganu pula melonjak ke tangga ketiga dengan 31 selepas menewaskan Pahang 4-1 di Kuantan, malam tadi. Pahang turun ke tangga keempat dengan 29 mata.

Di Shah Alam, suasana perlawanan cukup meriah apabila stadium dipenuhi kira-kira 60,000 penonton – majoritinya penyokong Selangor dan 10,000 daripadanya penyokong JDT.

Kapten JDT, Amri Yahyah yang juga bekas pemain Selangor memberi amaran awal tetapi sepakan jarak jauhnya pada minit ke-9 sedikit sipi untuk melegakan penjaga gol Selangor, Farizal Marlias.

Pada minit ke-20, sepakan percuma seorang lagi bekas pemain Selangor, Safiq Rahim berjaya ditumbuk keluar Farizal dan dua minit selepas itu, Farizal sekali lagi bertindak pantas menghadang percubaan Amri dari sebelah kiri.

Peluang Selangor hanya hadir pada minit ke-23 tetapi tandukan penyerang import, Paulo Rangel sedikit tersasar daripada gawang gol JDT yang dikawal Izham Tarmizi Roslan.

Gawang Selangor hampir bocor pada minit ke-45, mujur hantaran lintang Amirulhadi Zainal dari sebelah kanan yang cuba disepak keluar pemain pertahanan Selangor, Shahrom Kalam sekadar menggegar palang gol tuan rumah.

Sejurus sebelum separuh masa pertama berakhir, Selangor mendapat peluang terbaik tetapi rembatan Andik Vermansah dari depan kotak penalti berjaya diselamatkan Izham untuk kedudukan 0-0 itu dibawa ke bilik persalinan.

Separuh masa kedua bersambung, tiada sebarang pertukaran dilakukan kedua-dua jurulatih, Mehmet Durakovic bagi Selangor dan Bojan Hodak bagi JDT.

JDT hampir saja membuka jaringan pada minit ke-49 tetapi dinafikan kecemerlangan Farizal yang menepis keluar bola rembatan kencang Figueroa.

Dua minit berselang, menerusi satu serangan balas Selangor, S Kunanlan pula hanya berdepan Izham tetapi untuk membuat penyudah yang sekadar melintasi depan pintu gol JDT.

Pada minit ke-60, barulah Durakovic membawa masuk Nazmi Faiz Mansor menggantikan A Thamil Arasu manakala Hodak memasukkan Mahalli Jasuli menggantikan Amirulhadi, seminit kemudian.

Gol JDT akhirnya menjelma pada minit ke-70 selepas Figuero pantas menyepak masuk lorongan cantik Jorge Pereyra Diaz untuk menewaskan Farizal.

Bagi memburu gol penyamaan, Durakovic melakukan dua pertukaran serentak pada minit ke-76 dengan memasukkan Abdul Hadi Yahya dan Afiq Azmi menggantikan kapten Bunyamin Umar dan S Veenod bagi menambah kekuatan di barisan depan.

Namun sehingga wisel penamat ditiup pengadil, Shamsuddin Ibrahim, gawang Izham gagal dibolosi untuk Selangor terpaksa akur dengan kekalahan tipis.

Saingan Liga Super berehat seketika untuk memberi laluan kepada separuh akhir kedua dan final Piala FA, 7 Jun ini.

Perlawanan liga seterusnya hanya akan berlangsung pada 10 Jun ini apabila Selangor bertemu Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Bagaimanapun Selangor terlebih dahulu akan bertemu kelab dari Liga Sepanyol, Sevilla yang juga juara Liga Europa musim ini pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam, jam 8.45 malam esok (Isnin). Masuk adalah percuma.

SELANGOR: 25. Farizal Marlias, 12. Bunyamin Umar (14. Abdul Hadi Yahya ’76), 5. Shahrom Kalam, 17. Rizal Fahmi Rosid, 3. Azmi Muslim, 16. S Kunanlan, 4. Steve Pantelidis, 23. S Veenod (19. Afiq Azmi ’76), 7. Andik Vermansah, 20. A Thamil Arasu (8. Nazmi Faiz Mansor ’60), 9. Paulo Rangel.

JOHOR DARUL TA’ZIM: 25. Izham Tarmizi Roslan, 15. Daudsu Jamaludin, 44. Marcos Antonio, 27. Fadhli Shas, 4. Asraruddin Putra Omar, 13. Amirulhadi Zainal (18. Mahalli Jasuli ’61), 8. Safiq Rahim, 16. Shakir Shaari, 17. Amri Yahyah (c) (12. Nurul Azwan Roya ’85), 42. Jorge Pereyra Diaz (14. Hariss Harun ’80), 19. Luciano Figueroa.

Pengadil: Shamsuddin Ibrahim