Liga Super: Selangor 0 ATM 2

Selangor terpaksa melepaskan kedudukan tangga teratas Liga Super selepas tewas 2-0 kepada pasukan kedua tercorot, ATM di Stadium Shah Alam, malam tadi untuk Johor Darul Ta’zim (JDT) kini muncul pendahulu baru selepas menewaskan Terengganu 4-3 di Larkin.

Ketika saingan liga hanya berbaki tiga perlawanan, JDT kini mengumpul 38 mata, satu mata mengatasi Selangor yang turun ke tangga kedua.

Tanpa penyerang import, Paulo Rangel yang digantung dua perlawanan, Selangor terlebih dahulu menguji gawang ATM seawal minit ke-14 tetapi sepakan Abdul Hadi Yahya tidak cukup kuat untuk sekadar terus ke dakapan penjaga gol pelawat, Syed Adney Syed Hussein.

Namun ATM yang jarang menyerang dihadiahkan pula sepakan penalti pada minit ke-24 selepas pemain importnya, Fabrice Noel dijatuhkan Evaldo Silva dos Santos di penjuru kotak penalti.

Biarpun para pemain Selangor membantah kerana mendakwa insiden berlaku di luar kotak penalti, ia tidak mengubah pendirian pengadil, Nagor Amir Noor Mohd dan sepakan penalti itu mudah disempurnakan Juan Arostegui untuk gol pertama ATM pada minit ke-26.

Tersentak dengan jaringan itu, Selangor hampir menyamakan kedudukan dua minit kemudian, namun tandukan Evaldo hasil sepakan sudut Abdul Hadi berjaya diselamatkan dengan cantik oleh Syed Adney di penjuru gawang ATM.

Kedudukan 1-0 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Babak kedua bersambung, jurulatih ATM, B Sathianathan melakukan pertukaran pertama dengan memasukkan Rezal Zambery Yahya menggantikan Affize Faisal Mamat sambil jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic kekal dengan pemain yang sama.

ATM hampir berjaya menambah jaringan pada minit ke-57 tetapi tandukan Noel hasil sepakan sudut Rezal berjaya ditepis keluar penjaga gol Selangor, Farizal Marlias.

Bagi menambah sengat di barisan depan, Durakovic membawa masuk Hazwan Bakri menggantikan Afiq Azmi pada minit ke-61.

Sebaliknya selang dua minit kemudian, ATM pula yang berjaya memperolehi gol kedua juga menerusi rembatan mudah Arostegui berpunca daripada kelekaan barisan pertahanan Selangor.

Terdesak ketinggalan dua gol, Durakovic segera melakukan dua pertukaran serentak pada minit ke-67 dengan memasukkan Shukur Jusoh dan Steve Pantelidis untuk mencari gol bagi merapatkan kedudukan.

Namun benteng pertahanan ATM yang diketuai Hairuddin Omar terus gagal ditembusi barisan depan Selangor.

Arostegui hampir melengkapkan hatrik pada minit ke-86, namun percubaannya sekadar menggegar tiang gol Selangor.

SELANGOR: 25. Farizal Marlias, 12. Bunyamin Umar (c), 27. Evaldo Silva dos Santos, 5. Shahrom Kalam, 3. Azmi Muslim, 16. S Kunanlan (4. Steve Pantelidis ’67), 23. S Veenod (6. Shukur Jusoh ’67), 8. Nazmi Faiz Mansor, 7. Andik Vermansah, 14. Abdul Hadi Yahya, 19. Afiq Azmi (11. Hazwan Bakri ’61).

ATM: 22. Syed Adney Syed Hussein, 33. Safwan Hashim, 44. Park Yong Ho, 20. Hairuddin Omar (c), 3. Norfazly Alias, 12. Riduwan Maon, 41.Fabrice Noel (10. Bruno Martelotto ’59), 8. Affize Faisal Mamat (23. Rezal Zambery Yahya ’45), 16. Fauzi Saari (17. Venice Elphi Dannykaya ’71), 15. S Thinagaran, 7. Juan Arostegui.

Pengadil: Nagor Amir Noor Mohd