Liga Super: Sarawak 0-2 Selangor

Selangor mencatat kemenangan kedua berturut-turut selepas menewaskan Sarawak 2-0 dalam perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Negeri, Kuching malam tadi.

Gol-gol Selangor dijaringkan menerusi pemain import dari Indonesia, Andik Vermansah pada minit ke-24 dan penyerang Thamil Arasu (m-52).

Kemenangan ini membolehkan Selangor melonjak ke tangga ketiga dengan 16 mata, jumlah yang dikongsi bersama pendahulu, Terengganu dan Pahang tetapi dipisahkan dengan perbezaan jaringan.

Tuan rumah yang menampilkan pemain import Ryan Griffiths dan Hassan Al Hassan buat pertama kali bermula garang dengn mengasak ke kubu Selangor.

Namun sepakan percuma Griffith seawal minit pertama selepas beliau dikasari sekadar terkena benteng manakala percubaan Hassan ketika hanya berhadapan Farizal Marlias di gawang Selangor turut tidak menepati sasaran.

Selepas menyerap asakan awal Sarawak, pelawat mula menguasai permainan dengan hantaran-hantaran kemas di bahagian tengah.

Hasilnya sepakan jarak jauh Andik Vermansah pada minit ke-24 memerangkap penjaga gol lawan, Sani Anuar Kamsani yang sudah mara ke hadapan sekaligus menerjah jaring. Ini merupakan gol pertama Andik untuk Selangor.

Kedudukan 1-0 buat Selangor kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Selangor tidak menunggu lama selepas aksi babak kedua bermula untuk menggandakan jaringan.

Kesilapan Ronny Harun dalam usaha mengeluarkan bola dari kawasan bahaya pada minit ke-52 dihukum Thamil Arasu yang meledak masuk menewaskan Sani.

Tiada tambahan jaringan diperolehi kedua-dua pasukan sehingga wisel penamat ditiupkan pengadil untuk memastikan tiga mata berharga dibawa pulang anak-anak buah Mehmet Durakovic menyeberangi Laut China Selatan.