Liga Super: PKNS FC 5 Selangor 3

Selangor kendalian P Maniam mengalami kekalahan pertama musim ini selepas tewas 5-3 kepada PKNS FC pada perlawanan ketiga Liga Super 2017 di Stadium Shah Alam, petang tadi.

Turun selaku pasukan pelawat, Selangor mengejutkan PKNS FC kendalian E Elavarasan seawal 40 saat permainan berlangsung menerusi ledakan pemain sayap kanan, Syahmi Safari yang menewaskan Zamir Selamat untuk mendahului 1-0.

Namun PKNS FC berjaya bangkit menyamakan kedudukan 1-1 menerusi penyudah kemas Patrick Ronaldinho Wleh menewaskan Norazlan Razali selepas menerima hantaran jauh pemain tengah, Nazrin Syamsul Bahri pada minit ke-20.

Selang lima minit kemudian, Safee Sali menjarakkan kedudukan buat PKNS FC apabila berjaya menanduk masuk bola sepakan percuma Nazrin untuk gol kedua tuan rumah.

Selangor bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan 2-2 menerusi jaringan Francis Forkey Doe pada minit ke-28.

Ronaldinho sekali lagi menggegar gawang bekas pasukannya musim lalu apabila menanduk masuk gol ketiga PKNS FC pada minit ke-43 selepas menerima hantaran lintang Matias Hadwa untuk menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan 3-2.

Ketika Selangor cuba untuk memburu gol penyamaan sebaik separuh masa kedua bersambung, PKNS FC sebaliknya berjaya menambah gol keempat menerusi Hadwa pada minit ke-47 untuk menjarakkan kedudukan 4-2.

Bagi menajamkan jentera depan, Maniam membawa masuk pemain import baharu dari Timor-Leste, Juliano Mineiro menggantikan Abdul Halim Zainal pada minit ke-54.v

Hasilnya seminit kemudian, Mineiro melorongkan bola yang disudahkan dengan baik oleh Forkey Doe untuk gol ketiga Selangor dan seketika berjaya merapatkan kedudukan 4-3.

Namun kelekaan barisan pertahanan Selangor membenarkan Ronaldinho menjaringkan gol kelima PKNS FC, sekali gus melengkapkan hatrik buat dirinya pada minit ke-58 untuk kembali menjarakkan kedudukan 5-3.

Tempo rancak perlawanan bagaimanapun terganggu pada minit ke-71 selepas pengadil, Mohd Fairuzi Mat Desa melayangkan kad kuning kedua, seterusnya kad merah kepada pemain sayap kiri Selangor, Raimi Md Nor ketika pemain itu sudah pun duduk di bangku simpanan selepas Maniam menggantikannya dengan Adam Nor Azlin.

Kekecohan berlaku selepas Fairuzi mengarahkan Adam Nor kembali keluar dari padang kerana pertukaran pemain dilakukan Selangor itu tidak sah selepas Raimi dilayangkan kad merah.

Akhirnya pada minit ke-80, permainan kembali disambung dengan Selangor terpaksa beraksi 10 pemain selepas Adam Nor kembali ke bangku simpanan dan kad merah kepada Raimi itu disahkan.

Selepas 90 minit permainan dan tambahan masa selama lapan minit diberikan, Selangor tetap gagal mendapatkan jaringan untuk merapatkan kedudukan dan terpaksa akur dengan kekalahan 5-3 kepada PKNS FC.

Selepas tiga perlawanan, Selangor kini mengumpul empat mata hasil sekali menang, sekali seri dan sekali tewas.

Selangor akan berdepan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan keempat di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada Sabtu, 11 Februari ini.

PKNS FC: 22. Zamir Selamat; 16. Azreen Zulkafali (5. Shahrul Azhar Ture 90+2′), 12. Gonzalo Soto (C), 18. M Sivakumar, 3. Azmi Muslim; 30. Matias Hadwa, 11. Nazrin Syamsul Bahri, 21. Lucas Espindola, 19. Khairul Ramadhan Zawawi (23. Alif Haikal 33′); 10. Safee Sali (28. S Sivanesan 90+5′), 4. Patrick Ronaldinho Wleh.

SELANGOR: 21. Norazlan Razali; 13. Razman Roslan (C), 18. Ugochukwu Ukah, 17. Rizal Fahmi Rosid (9. Adam Nor Azlin 83′); 20. Syahmi Safari (5. K Satish 90+6′), 8. Saiful Ridzuwan Selamat, 4. Abdul Halim Zainal (28. Juliano Mineiro 54′), 15. Raimi Md Nor; 30. Victor Astafei, 10. Francis Forkey Doe, 23. S Veenod.

Pengadil: Mohd Fairuzi Mat Desa