Liga Super: PKNS FC 2 Selangor 2

Juara 2009 dan 2010, Selangor muncul naib juara Liga Super buat dua musim berturut-turut selepas menutup tirai saingan musim ini dengan keputusan seri 2-2 ketika bertemu PKNS FC di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Penentuan kejuaraan musim ini terpaksa ditentukan sehingga ke perlawanan terakhir apabila Selangor kendalian Mehmet Durakovic hanya ketinggalan satu mata di belakang pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) bimbingan Bojan Hodak.

Namun dengan kemenangan tipis 1-0 JDT ke atas Sarawak di Kuching dan keputusan seri dicatat Selangor di Shah Alam, kedudukan terakhir Liga Super menyaksikan JDT mengumpul 44 mata manakala Selangor 41 mata, perbezaan tiga mata.

Di Shah Alam, penyerang import dari Brazil, Paulo Rangel dua kali meletakkan Selangor yang bertindak sebagai pasukan pelawat di hadapan sebelum disamakan dua pemain import PKNS FC, Patrick Ronaldinho Wleh dan Kim Dong-Chan.

Rangel melakukan sepakan padu dalam kotak penalti selepas menerima lorongan Andik Vermansah untuk gol pertama Selangor pada minit ke-21.

PKNS FC hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-24, namun rembatan awal Karlo Primorac dari luar kotak penalti yang diselamatkan penjaga gol Selangor, Farizal Marlias lambat disambar kapten PKNS FC, Helmi Remeli.

Kedudukan separuh masa pertama, Selangor mendahului PKNS FC 1-0.

Seminit selepas babak kedua bersambung, Selangor nyaris menambah jaringan tetapi Abdul Hadi Yahya yang berjaya mengatasi penjaga gol PKNS FC, Remezey Che Ros lambat menolak bola ke gawang sebelum dipintas pertahanan tuan rumah.

Pada minit ke-47, giliran Andik pula terlepas peluang satu lawan satu dengan Remezey apabila tolakannya berjaya dihadang penjaga gol PKNS FC itu.

Selepas dua peluang terbaik itu dipersiakan, Selangor tersentak pada minit ke-65 apabila Ronaldinho Wleh yang tidak dikawal mudah melepaskan rembatan menewaskan Farizal untuk gol penyamaan PKNS FC yang dikendalikan sementara Anuar Abu Bakar selepas Wan Jamak Hassan direhatkan.

Bagaimanapun dua minit saja diperlukan Rangel untuk kembali meletakkan Selangor mendahului 2-1 apabila dia mudah menanduk masuk bola sepakan penjuru Ahmad Hazwan Bakri untuk gol peribadi ke-16, sekali gus dinobatkan penjaring terbanyak Liga Super musim ini.

Tiga mata penuh buat Selangor akhirnya dinafikan jaringan penyamaan PKNS FC menerusi sepakan penalti Dong-Chan pada minit ke-82 selepas bola terkena tangan Shukur Jusoh.

Rangel hampir melengkapkan hatrik pada minit ke-89, namun Remezey sekali lagi cemerlang menyelamatkan percubaannya selepas menerima hantaran Afiq dari sebelah kiri.

Keputusan seri itu bagaimanapun tidak mengubah nasib PKNS FC yang tetap menghuni tangga tercorot Liga Super untuk tersingkir ke saingan Liga Perdana 2015 bersama-sama pasukan kedua tercorot, T-Team.

PKNS FC: 22. Remezey Che Ros, 17. Abdul Ghani Rahman (2. Faiz Isa ’60), 16. Zulharis Mohd Noor, 21. Helmi Remeli (c), 15. P Gunalan, 5. Shahrul Azhar Ture, 8. Khairu Azrin Khazali, 45. Shahurain Abu Samah, 24. Kim Dong-Chan, 4. Patrick Ronaldinho Wleh (3. Arip Amiruddin ’75), 10. Karlo Primorac (25. Radzi Hussin ’90).

SELANGOR: 25. Farizal Marlias, 12. Bunyamin Umar (c), 4. Steve Pantelidis (27. Evaldo Silva dos Santos ’88), 5. Shahrom Kalam, 16. S Kunanlan, 11. Ahmad Hazwan Bakri (19. Afiq Azmi ’86), 23. S Veenod, 6. Shukur Jusoh, 7. Andik Vermansah, 14. Abdul Hadi Yahya (20. A Thamil Arasu ’66), 9. Paulo Rangel.

Pengadil: Zamzaidi Katimin