Liga Super: Perak 0-1 Selangor

Selangor terus mengekori rapat dua pasukan teratas Liga Super selepas berjaya mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas pasukan tercorot, Perak di Stadium Perak, Ipoh, malam tadi.

Penyerang import dari Brazil, Paulo Rangel sekali lagi muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan Selangor pada babak pertama.

Selepas 11 perlawanan, Pahang terus gah di tangga teratas Liga Super dengan 22 mata selepas menewaskan T-Team 2-0 diikuti Terengganu di tangga kedua dengan 20 mata, berkongsi mata dengan Selangor di tangga ketiga dan kedua-dua pasukan baru beraksi 10 perlawanan.

Juara bertahan, Lions XII pula di tangga keempat dengan 18 mata, Kelantan kelima dengan 17 mata dan Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan 16 mata. Masing-masing sudah beraksi 11 perlawanan.

Pada aksi di Stadium Perak malam tadi, jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic mengekalkan kesebelasan hampir sama ketika mereka menewaskan Hanoi T&T 3-1 di Stadium Shah Alam, Selasa lalu kecuali dua pemain import, Steve Pantelidis dan Andik Vermansah kembali dalam kesebelasan mengisi tempat Rizal Fahmi Rosid dan Hazwan Bakri.

Namun seorang lagi pemain import, Junior Aparecido langsung tiada dalam senarai 18 pemain yang dibawa ke Ipoh.

Perak kendalian Abu Bakar Fadzim pula pada mulanya menyenaraikan penyerang import baru, Imad Ghaddar tetapi pada saat akhir terpaksa melakukan pertukaran dengan menggantikannya dengan Shahrizal Saad dalam barisan kesebelasan utama.

Selepas mengasak kubu Perak menerusi beberapa percubaan daripada A Thamil Arasu dan Andik, Selangor akhirnya dihadiahkan sepakan penalti selepas pemain pertahanan Perak, Raffi Nagoorgani menjatuhkan pemain tengah Selangor, S Veenod pada minit ke-19.

Tugas mengambil sepakan penalti itu kemudian disudahkan dengan sempurna oleh Rangel untuk gol pertama Selangor pada minit ke-21.

Selangor selepas itu mula mengendurkan asakan sambil keadaan padang yang licin akibat hujan sebelum perlawanan tampak merencatkan pergerakan kedua-dua pasukan.

Permulaan separuh masa kedua menyaksikan Selangor berpeluang menambah jaringan tetapi tiada penyudah berkesan mampu dilakukan barisan depan.

Selepas itu, tidak banyak percubaan berbahaya berjaya dihasilkan kedua-dua pasukan sehinggalah Perak terpaksa beraksi 10 pemain selepas Shahrizal dilayangkan kad merah pada minit ke-87.

Bagi Durakovic, tiga mata penting sudah cukup untuk menggembirakannya kerana tiada apa lagi mampu dimintanya daripada para pemain yang tampak keletihan selepas mengharungi jadual padat Liga Super dan Piala AFC.

“Saya lihat para pemain tetap memberikan corak persembahan yang baik meskipun mereka semua keletihan. Keadaan padang yang licin dan lembap juga memberi kesukaran.

“Apa pun kami masih mampu mempamerkan taktikal permainan yang baik sehingga menghasilkan gol pertama. Nyata bukan mudah untuk beraksi di sini kerana Perak tetap mempamerkan semangat juang tinggi sehingga penghujung permainan.

“Tapi pada saya, kami sememangnya lebih layak untuk membawa pulang tiga mata penuh,” kata Durakovic.

Selangor selepas ini akan bertemu T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu untuk aksi tunggal Liga Super, Selasa ini sebelum kembali menerima kunjungan Perak di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

PERAK: 22. Razi Effendi Suhit, 17. Tuah Iskandar Jamaluddin, 42. Hassan Daher, 34. Raffi Nagoorgani, 24. Hisyamudin Sha’ari (25. Azmeer Yusof ’45), 11. Ridzuan Azly Hussham (18. Nazri Kamal ’60), 4. Nasir Basharudin (c), 7. Kyaw Zayar Win, 35. Norhakim Isa, 8. Shahrizal Saad, 33. G Mugenthirran (16. J Partiban ’75).

SELANGOR: 25. Farizal Marlias, 12. Bunyamin Umar (c), 4. Steve Pantelidis, 5. Shahrom Kalam, 3. Azmi Muslim, 14. Abdul Hadi Yahya (24. Fittri Shazwan Raduwan ’85), 16. S Kunanlan, 23. S Veenod, 7. Andik Vermansah, 20. A Thamil Arasu (6. Shukur Jusoh ’64), 9. Paulo Rangel (19. Afiq Azmi ’89).

Pengadil: Syed Azhar Syed Kamar