Selangor hampir berjaya membawa pulang mata penuh tetapi dinafikan jaringan penyamaan lewat tuan rumah ketika seri 2-2 dengan pasukan tangga kedua, Pahang pada perlawanan ke-10 Liga Super 2017 di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi.

Juliano Mineiro meletakkan skuad bimbingan P Maniam itu di hadapan seawal minit ketujuh menerusi ledakan kemas dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol Pahang, Wan Azraie Wan Teh.

Namun Pahang kendalian Dollah Salleh pantas menyamakan kedudukan pada minit ke-11 selepas Matthew Davies mudah menolak masuk bola sepakan sudut.

Selangor kemudian hampir berjaya menambah jaringan pada minit ke-28, namun sepakan Francis Forkey Doe selepas mengatasi Muslim Ahmad sekadar menggegar tiang gol Pahang.

Terikat 1-1 pada separuh masa kedua, Selangor dihadiahkan sepakan penalti selepas Victor Astafei dijatuhkan Faisal Rosli dan Forkey Doe yang ditugaskan mengambil sepakan itu mudah menewaskan Wan Azraie untuk gol kedua pelawat pada minit ke-66.

Hajat Selangor untuk membawa pulang tiga mata penuh tidak kesampaian apabila hantaran lintang Davies yang gagal ditangkap kemas penjaga gol, Khairulazhan Khalid berjaya disudahkan dengan baik oleh Faisal untuk gol penyamaan Pahang pada minit ke-88.

Dengan keputusan seri itu, Selangor kekal di tangga keempat dengan 16 mata, di belakang pendahulu Johor Darul Ta’zim (23 mata), Pahang (20 mata) dan Kedah (19 mata).

Selangor selepas ini akan bertemu T-Team pada perlawanan ke-11 Liga Super 2017 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada 26 April ini.

PAHANG: 27. Wan Azraie Wan Teh; 2. Matthew Davies (C), 24. Muslim Ahmad, 15. Heo Jae-won (19. Afif Amiruddin 60′), 14. Faisal Rosli; 17. Joseph Kalang Tie, 11. Ahmad Syamim Yahya, 20. Nor Azam Azih (28. R Kogileswaran 87′), 8. Wan Zaharulnizam Wan Zakaria (5. Ashari Samsudin 75′); 26. Mohamadou Sumareh, 29. Matheus Alves.

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid; 12. Bunyamin Umar, 18. Ugochukwu Ukah, 13. Razman Roslan (C); 20. Syahmi Safari, 4. Abdul Halim Zainal, 8. Saiful Ridzuwan Selamat (23. S Veenod 81′), 3. K Kannan; 28. Juliano Mineiro (15. Raimi Md Nor 83′), 30. Victor Astafei (9. Adam Nor Azlin 90+3′), 10. Francis Forkey Doe.

Pengadil: Fitri Maskon