Liga Super: Pahang 0 Selangor 1

Selangor berjaya merampas takhta pendahulu liga selepas menewaskan Pahang 1-0 di Stadium Darul Makmur malam tadi.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan menerusi Andik Vermansah pada minit ke-64.

Penyerang tuan rumah, Matias Conti menguji penjaga gol Selangor, Farizal Marlias seawal minit ke-10 namun Conti yang memanfaatkan kesilapan Mohd Azmi Muslim gagal menemui sentuhan penyudah.

Gawang Selangor sekali lagi diuji pada minit ke-39 menerusi percubaan Dickson Nwakaeme yang tepat ke dakapan Farizal.

Benteng tengah Selangor yang diterajui Muhammad Shahrom Abdul Kalam dan Rizal Fahmi Ab Rosid serta dilindungi Steve Pantelidis di posisi tengah bertahan bertindak cemerlang mengekang asakan bertali arus Pahang sehingga tamat aksi separuh masa pertama.

Di awal separuh masa kedua, sepakan percuma Hafiz Kamal turut diselamatkan Farizal.

Sebaliknya Selangor memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-64. Andik yang bertukar-tukar hantaran dengan penjaring terbanyak, Paulo Rangel akhirnya menolak masuk menewaskan Nasril Nourdin di gawang Tok Gajah.

Ini adalah merupakan gol peribadi kedua pemain import dari Indonesia itu untuk Selangor musim ini.

Skuad bimbingan Zainal Abdin Hassan menggandakan asakan untuk sekurang-kurangnya mencari gol penyamaan, namun sepakan R Gopinathan yang diselamatkan Farizal serta dua tandukan Nwakaeme yang tidak menepati sasaran memastikan rekod tanpa kalah Pahang di gelanggang sendiri musim ini tercalar.

Kemenangan ini membolehkan Selangor kini mengumpul 31 mata manakala Pahang di anak tangga kedua dengan 28 mata.

Selangor akan berhadapan Sime Darby di Stadium Shah Alam pada 17 Mei ini untuk aksi Liga Super seterusnya.