Liga Super: Lions XII 2-1 Selangor

Tandukan Khairul Amri Kamal pada penghujung masa kecederaan menyebabkan Selangor gagal mengutip sekurang-kurangnya satu mata apabila tewas 2-1 kepada juara bertahan, Lions XII pada aksi kedua Liga Super di Stadium Jalan Besar, malam tadi.

Perlawanan hampir saja berakhir dengan keputusan seri selepas jaringan awal Lions XII menerusi Shakir Hamzah pada penghujung babak pertama berjaya disamakan Fittri Shazwan Raduwan pada minit ke-57.

Terdahulu seawal minit ke-2, pertahanan Lions XII, Shakir dilayangkan kad kuning oleh pengadil, Nagor Amir selepas dia menghalang larian Junior Aparecido ketika satu serangan balas.

Peluang terhidang buat Selangor pada minit ke-6 apabila hantaran lintang Fittri dari sebelah kiri didada kemas Paulo Rangel, namun rembatan penyerang import dari Brazil itu sedikit sipi ke kanan gawang Lions XII yang dikawal Izwan Mahbud.

Pada minit ke-12 barulah Lions XII menguji gawang Selangor tetapi hantaran lintang Faritz Hameed dari sebelah kanan berjaya ditumbuk keluar Farizal Marlias dan seminit kemudian percubaan dari sebelah kanan oleh Khairul Amri tepat ke dakapan penjaga gol Selangor itu.

Permainan selepas itu menyaksikan kedua-dua pasukan kurang mendapat peluang di depan pintu gol dengan barisan pertahanan Lions XII dan Selangor semakin kemas.

Hanya pada minit ke-31 rembatan kencang Khairul Amri dari luar kotak penalti tepat ke dakapan Farizal dan penyerang Lions XII itu sekali lagi mendapat peluang menerusi serangan balas minit ke-36 tetapi rembatannya tersasar tinggi.

Pada minit ke-40, Selangor memperolehi peluang tetapi sepakan percuma kaki kiri diambil Junior sedikit sipi melewati bucu kanan gawang Lions XII.

Sebaliknya gawang Selangor semakin terancam apabila sepakan kaki kiri Hafiz Sujad menggegar palang pada minit ke-42.
Lions XII akhirnya berjaya memperolehi gol pertama pada minit ke-44 selepas Shakir melonjak tinggi untuk menanduk masuk bola sepakan sudut Zulfahmi Arifin untuk tuan rumah mendahului 1-0 pada separuh masa pertama.

Separuh masa kedua bersambung, tiada sebarang pertukaran dibuat sama ada oleh jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic mahu pun jurulatih Lions XII, Fandi Ahmad.

Selangor berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-57 selepas sepakan sudut Junior berjaya ditanduk cantik Fittri Shazwan Raduwan ke penjuru kanan gawang Lions XII untuk memerangkap Izwan.

Bagaimanapun Selangor terpaksa membuat pertukaran pertama selepas pemain tengah, K Gurusamy mengalami kecederaan dan Abdul Hadi Yahya dibawa masuk pada minit ke-73.

Seminit kemudian, Lions XII berpeluang menambah jaringan, namun rembatan Zulfahmi dari luar kotak penalti berjaya ditepis keluar oleh Farizal.

Gawang Selangor akhirnya bocor buat kali kedua pada minit ke-94 apabila Khairul Amri berjaya menanduk masuk bola sepakan sudut pemain gantian, Shahfiq Ghani.

Selangor seterusnya akan bertemu Pahang untuk perlawanan ketiga di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, Selasa ini.

LIONS XII: 1. Izwan Mahbud, 9. Faritz Hameed, 21. Safuwan Baharudin, 3. Afiq Yunos, 2. Shakir Hamzah, 7. Gabriel Quak (26. Shahfiq Ghani ’74), 4. Isa Halim (c), 23. Zulfahmi Arifin (6. Madhu Mohana ’82), 8. Hafiz Sujad, 15. Sufian Anuar (17. Faris Ramli ’60), 19. Khairul Amri Kamal.

SELANGOR: 25. Farizal Marlias, 12. Bunyamin Umar (c), 5. Steve Pantelidis, 17. Rizal Fahmi Ab Rosid, 3. Azmi Muslim, 16. S Kunanlan, 6. Shukur Jusoh, 15. K Gurusamy (14. Abdul Hadi Yahya ’60), 24. Fittri Shazwan Raduwan (20. A Thamil Arasu ’82), 10. Junior Aparecido, 9. Paulo Rangel (7. Andik Vermansah ’90).

Pengadil: Nagor Amir