Liga Super: Kelantan 2 Selangor 0

Selangor gagal memanfaatkan peluang untuk merampas kembali takhta Liga Super selepas tewas 0-2 kepada Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.

Dari sepak mula, Selangor hampir membuka jaringan namun lambungan S Kunanlan dari sebelah sayap kanan sekadar tinggi melepasi gawang Kelantan.

Selepas itu, pasukan tuan rumah mula menguasai rentak permainan.

Dua sepakan percuma yang diambil Zairul Fitree Ishak mengancam pertahanan Selangor, masing-masing pada minit ke-3 dan 20.

Dua minit berselang, Kelantan memperolehi gol pendahuluan apabila Francis Forkey Doe menanduk masuk hantaran lintang Prince Tagoe pada minit ke-22.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Selangor melancarkan serangan bertali-arus namun tanpa khidmat penjaring utama, Paulo Rangel nyata menghadapi kesukaran menembusi pertahanan lawan.

Pada minit ke-42, tandukan pemain tinggi lampai dari Brazil, Evaldo Santos mudah diselamatkan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

Dua minit kemudian, Fahmi sekali lagi bertindak cemerlang menafikan sepakan jarak jauh Nazmi Faiz Mansor sebelum sepakan susulan Bunyamin Umar dan S Veenod turut dihalang.

Separuh masa pertama berakhir dengan kedudukan 1-0.

Jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic membuat dua pertukaran di awal separuh masa kedua bagi menambah sengat di jentera serangan dengan memasukkan Ahmad Hazwan Bakri dan Mohd Fittri Shazwan Raduwan bagi menggantikan Azmi Muslim dan Evaldo.

Selangor dilihat semakin garang dan kerap melakukan hantaran-hantaran merbahaya namun kubu Kelantan masih utuh.

Peluang terbaik pelawat diperolehi Hazwan namun sepakan kencangnya selepas menerima hantaran Andik Vermansah dinafikan palang gol lawan.

Kelantan menghukum kelalaian Selangor yang asyik menyerang apabila menerusi satu serangan balas, Wan Zaharulnizam menolak masuk bola menewaskan Farizal Marlias pada minit ke-84.

Kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Selangor bagaimanapun masih berpeluang memburu kejuaraan Liga Super selepas pendahulu, Johor Darul Ta’zim turut mengalami kekalahan 0-2 kepada ATM sekaligus jurang satu mata di puncak kekal dengan saingan liga berbaki hanya dua perlawanan.