Selangor terus cemerlang meraih kemenangan kedua berturut dalam saingan Liga Super 2017 selepas berjaya menewaskan Kelantan 2-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.

Dua jaringan pemain import dari Timor-Leste, Juliano Mineiro sudah cukup untuk menolak Selangor naik satu anak tangga ke kedudukan ketiga liga di belakang Kedah dan Pahang selepas penghuni sebelum ini, Perak sekadar seri 2-2 dengan Felda United, lawan yang ditundukkan Selangor 3-1 minggu lalu.

Pada aksi malam tadi, Selangor kembali dapat menurunkan pertahanan import, Ugochukwu Ukah dan penyerang muda, Adam Nor Azlin yang selesai penggantungan satu perlawanan, namun tidak dapat menggunakan pula khidmat pemain tengah, Saiful Ridzuwan Selamat yang digantung satu perlawanan.

Seawal minit keempat, Selangor sudah pun di hadapan selepas hantaran S Veenod dari sebelah kiri disambar Mineiro, namun percubaan pertamanya berjaya ditepis penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

Namun susulan daripada itu, Mineiro pantas menjolok bola ke gawang Kelantan pada percubaan keduanya untuk menghadiahkan gol pertama Selangor.

Pada minit ke-20, jurulatih Selangor, P Maniam terpaksa mengeluarkan penyerang import dari Liberia, Francis Forkey Doe yang mengalami kecederaan di bahagian paha lalu Adam Nor dibawa masuk untuk mengetuai jentera serangan.

Adam Nor kemudian mendapat peluang untuk menambah jaringan buat Selangor pada minit ke-30, namun percubaannya dalam kotak penalti berjaya ditepis keluar Khairul Fahmi.

Selangor terus berpeluang pada minit ke-36 tetapi kali ini, percubaan Victor Astafei selepas menerima hantaran Adam Nor sempat dihadang keluar pertahanan import Kelantan, Mamadou Danso.

Pada minit ke-42, giliran Adam Nor sekali lagi kecewa apabila percubaan satu lawan satu dimilikinya berjaya dihadang kemas Khairul Fahmi untuk kedudukan 1-0 kekal sehingga waktu rehat.

Bersambung babak kedua, jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail terus melakukan pertukaran pertama dengan memasukkan pemain berpengalaman, Badhri Radzi menggantikan Hasmizan Kamarodin bagi menggerakkan jentera tengahnya.

Pada minit ke-58, Kelantan hampir berjaya menyamakan kedudukan tetapi sepakan percuma diambil Badhri sedikit sipi ke kanan pintu gol Selangor yang dikawal Khairulazhan Khalid.

Sebaliknya Selangor pula yang terus selesa apabila berjaya memperoleh gol kedua pada minit ke-63 selepas lorongan Adam Nor dari sebelah kanan disudahkan dengan sepakan deras luar kotak penalti oleh Mineiro untuk menewaskan Khairul Fahmi buat kali kedua.

Kedudukan itu kekal sehingga wisel penamat untuk memberikan Selangor kemenangan ketiga daripada enam perlawanan liga yang sudah diharungi musim ini sambil Kelantan meratapi tiga kekalahan berturut-turut untuk kini menghuni tangga ke-10.

Selangor selepas ini akan beraksi dua perlawanan berturut di gelanggang sendiri, Stadium Majlis Perbandaran Selayang bertemu Kedah pada Rabu ini (1 Mac) dan Perak pada Sabtu (4 Mac) sebelum saingan liga berehat lima minggu untuk memberi laluan kepada aksi Piala FA, Piala AFC dan perlawanan antarabangsa skuad kebangsaan.

KELANTAN: 19. Khairul Fahmi Che Mat; 5. Nik Shahrul Azim Ab Halim, 11. Hasmizan Kamarodin (16. Badhri Radzi 46′), 12. Mamadou Danso, 7. Qayyum Marjoni Sabil; 8. Shahrul Hakim Rahim, 27. Faizol Nazlin Sayuti, 21. Morgaro Gomis, 18. Khairul Izuan Rosli (30. Hattaphon Bun An 73′); 23. Indra Putra Mahayuddin (C) (17. Fakhrul Zaman 67′), 22. Mohammed Ghaddar.

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid; 13. Razman Roslan (C), 18. Ugochukwu Ukah, 17. Rizal Fahmi Ab Rosid; 20. Syahmi Safari, 28. Juliano Mineiro (24. Fittri Shazwan Raduwan 78′), 4. Abdul Halim Zainal (12. Bunyamin Umar 86′), 15. Raimi Md Nor; 30. Victor Astafei, 10. Francis Forkey Doe (9. Adam Nor Azlin 20′), 23. S Veenod.

Pengadil: Zulkifli Ahmad