Liga Super: Johor Darul Ta’zim 4-1 Selangor

Selangor terpaksa melepaskan kedudukan tangga teratas Liga Super selepas tewas 4-1 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan kelima di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Ia kekalahan kedua Selangor musim ini untuk kekal dengan sembilan mata hasil tiga perlawanan sebelum ini manakala JDT yang dikendalikan Cesae Fernando Giminez meraih mata ketujuh.

Selangor tersentak dengan jaringan awal JDT pada minit ke-13 selepas kapten dari Singapura, Baihakki Khaizan pantas menanduk masuk bola lambungan Shakir Shaari susulan sepakan sudut untuk JDT mendahului 1-0.

JDT hampir menambah gol pada minit ke-18, mujur tandukan rendah Norshahrul Idlan Talaha hasil hantaran lintang Nurul Azwan Roya dari sebelah kiri berjaya diselamatkan penjaga gol Selangor, Farizal Marlias.

Pada minit ke-23, bekas pemain Selangor, Amri Yahyah pula hampir menggegar gawang pelawat tetapi dia sedikit lewat menghulurkan kakinya bagi menyambut lorongan cantik Luciano Figueroa.

Seminit kemudian barulah Selangor berjaya membuat percubaan tepat tetapi rembatan kaki kiri Junior Aparecido dari luar kotak penalti diselamatkan penjaga gol JDT, Izham Tarmizi Roslan sebelum sempat disambar Paulo Rangel.

Kedudukan berubah menjadi 2-0 pada minit ke-33 selepas pemain import JDT dari Singapura, Hariss Harun menanduk masuk bola sepakan sudut Mahalli Jasuli biarpun cuba ditepis Farizal tetapi bola tetap menggegar jaring gol Selangor.

Gawang Selangor terus diancam dan pada minit ke-40, Nurul Azwan memusingkan badannya dalam kotak penalti tetapi percubaannya berjaya ditepis keluar Farizal.

Peluang Selangor untuk merapatkan kedudukan sebelum waktu rehat tidak kesampaian apabila sepakan percuma K Gurusamy pada minit ke-43 sedikit tinggi melepasi palang.

Separuh masa kedua bersambung, JDT terus garang untuk menambah jaringan dan pada minit ke-50 Norshahrul berjaya melepasi kawalan pertahanan Selangor, mujur rembatannya berjaya ditepis Farizal.

Selangor terus mencuba dengan Shukur Jusoh meloloskan dirinya di dalam kotak penalti JDT pada minit ke-52 tetapi hantarannya diselamatkan Izham Tarmizi.

Sebaliknya gawang Selangor bolos buat kali ketiga, seminit kemudian apabila hantaran lintang Amri dari sebelah kanan berjaya ditanduk kemas Figueora untuk JDT selesa mendahului 3-0.

Bagi memberi tenaga baru, jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic melakukan dua pertukaran serentak pada minit ke-55 dengan memasukkan Andik Vermansah dan Abdul Hadi Yahya menggantikan Junior dan Azmi Muslim.

Namun JDT pula yang berjaya menjaringkan gol keempat pada minit ke-59 menerusi Fadhli Shas yang menyudahkan peluang terbuka di depan gol selepas bola sepakan percuma Amri yang ditanduk Baihakki melantun terkena tiang ketika cuba diselamatkan Farizal.
Selangor akhirnya berjaya merapatkan kedudukan 4-1 menerusi sepakan penalti Rangel pada minit ke-68 selepas penyerang dari Brazil itu sendiri dijatuhkan Baihakki.

Usaha Selangor untuk menambah jaringan tampak sukar dengan kekebalan benteng pertahanan JDT diterajui Baihakki dan Fadhli untuk kedudukan 4-1 itu kekal sehingga wisel penamat.

JOHOR DARUL TA’ZIM: 25. Izham Tarmizi Roslan, 18. Mahalli Jasuli, 5. Baihakki Khaizan (c), 27. Fadhli Shas, 4. Asraruddin Putra Omar, 17. Amri Yahyah (23. Irfan Fazail ’85), 16. Shakir Shaari, 14. Hariss Harun, 12. Nurul Azwan Roya, 9. Norshahrul Idlan Talaha (13. Amirulhadi Zainal ’75), 19. Luciano Figueroa (11. Safee Sali ’83).

SELANGOR: 25. Farizal Marlias, 12. Bunyamin Umar (c), 17. Rizal Fahmi Ab Rosid, 4. Steve Pantelidis, 3. Azmi Muslim (14. Abdul Hadi Yahya ’55), 24. Fittri Shazwan Raduwan (13. Raimi Md Nor ’80), 15. K Gurusamy, 6. Shukur Jusoh, 16. S Kunanlan, 10. Junior Aparecido (7. Andik Vermansah ’55), 9. Paulo Rangel.