Liga Super: JDT 0 Selangor 0

Selangor bangkit daripada kekalahan 5-3 kepada PKNS FC minggu lalu apabila berjaya mengikat juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan keputusan seri 0-0 pada perlawanan keempat Liga Super 2017 di Stadium Tan Sri Dato’ Hj Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Penjaga gol kebangsaan, Khairulazhan Khalid muncul wira pada penampilan sulungnya untuk Selangor musim ini selepas pulih daripada kecederaan apabila berjaya menyelamatkan sepakan penalti penyerang import JDT, Brian Ferreira pada babak pertama serta beberapa percubaan berbahaya tuan rumah.

Terdahulu, jurulatih Selangor, P Maniam melakukan tiga pertukaran dalam kesebelasan utamanya dengan Khairulazhan mengambil alih tugas Norazlan Razali untuk menjaga gawang, K Kannan mengisi posisi sayap kiri menggantikan Raimi Md Nor yang digantung perlawanan manakala Abdul Halim Zainal diletakkan di bangku simpanan untuk memberi laluan kepada pemain import dari Timor-Leste, Juliano Mineiro.

Turun dengan formasi 3-4-3, Selangor hampir mengejutkan JDT seawal minit kedua apabila kesilapan Fadhli Shas membuka ruang buat Francis Forkey Doe, namun sepakan lambung penyerang import dari Liberia itu yang sudah berjaya memerangkap penjaga gol JDT, Farizal Marlias sedikit tersasar.

Selepas itu, JDT kendalian Benjamin Mora mula mengawal permainan dan ia memaksa Maniam terpaksa menukar kepada formasi 5-3-2 atau 5-4-1 untuk lebih bertahan sambil sesekali melakukan serangan balas.

Taktikal itu tampak berkesan sehingga menyaksikan JDT meskipun berjaya menggerakkan serangan, namun gagal untuk melakukan sebarang percubaan berbahaya ke arah pintu gol Selangor sehinggalah rembatan luar kotak penalti Gonzalo Cabrera yang berjaya ditepis keluar Khairulazhan pada minit ke-20.

JDT terus mencuba dan pada minit ke-31, giliran bekas pemain import PKNS FC dan JDT II, Gabriel Guerra menyaksikan percubaan terbuka dilakukannya dalam kotak penalti berjaya ditangkap kemas oleh Khairulazhan.

Pada minit ke-37, JDT dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil, Zohri Tajuddin selepas bola hantaran Azammuddin Akil dari sebelah kanan ke arah kotak penalti terkena tangan kapten Selangor, Razman Roslan.

Namun sepakan penalti diambil Ferreira, dua minit kemudian berjaya dibaca baik Khairulazhan yang melayangkan badan dan menepis kemas bola sepakan penyerang import JDT dari Argentina itu yang didaftarkan sebagai slot pemain import Asia kerana memiliki kerakyatan Iraq.

Tamat separuh masa pertama dengan kedudukan terikat 0-0.

Bersambung babak kedua, kemaraan JDT terus dihalang oleh ketangkasan Khairulazhan yang menghadang kemas percubaan Guerra dalam kotak penalti pada minit ke-53 dan sepakan percuma ketua pasukan, Safiq Rahim pada minit ke-56.

Khairulazhan sekali lagi cemerlang menghadang percubaan Amirulhadi Zainal pada minit ke-59 sehingga bekas penjaga gol Pahang itu mengalami sedikit kecederaan akibat perlanggaran tersebut. Selepas diberikan rawatan, Khairulazhan dapat meneruskan permainan.

Selepas buntu untuk menembusi gawang Selangor, barisan pertahanan JDT pula sedikit leka pada minit ke-70 tetapi peluang terbuka satu lawan satu gagal disempurnakan S Veenod apabila pemain tengah Selangor itu memilih untuk melepaskan sepakan tinggi melewati palang gol.

Mora kemudian membawa masuk tiga tenaga baharu – Safawi Rasid (minit ke-73), Ahmad Hazwan Bakri (minit ke-76) dan Afiq Fazail (minit ke-79), namun tandukan Safiq selepas hantaran lintang S Kunanlan pada minit ke-84 tersasar tinggi manakala percubaan lemah Cabrera dalam kotak penalti selepas lorongan Ahmad Hazwan mudah diselamatkan Khairulazhan pada minit ke-86.

Kedudukan tanpa jaringan itu kekal sehingga wisel penamat dan memberikan satu mata berharga untuk dibawa pulang Selangor.

Selepas empat perlawanan, Selangor kini di tangga kelapan, berkongsi lima mata dengan JDT di tangga ketujuh, namun dipisahkan perbezaan gol. JDT bagaimanapun baru beraksi tiga perlawanan.

Kedah di tangga teratas dengan mengumpul lapan mata daripada empat perlawanan diikuti Pahang, Perak dan T-Team dengan tujuh mata serta Kelantan dan PKNS FC dengan enam mata. Kelantan bagaimanapun baru beraksi dua perlawanan.

Selangor selepas ini akan menanti kunjungan pendahulu Liga Premier 2017, Negeri Sembilan untuk perlawanan pusingan kedua Piala FA 2017 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selasa ini sebelum menerima pula kehadiran Felda United untuk aksi kelima Liga Super 2017 di gelanggang sama, Jumaat ini.

JDT: 1. Farizal Marlias; 12. S Kunanlan, 6. Marcos Antonio, 27. Fadhli Shas (4. Afiq Fazail 79′), 15. Fazly Mazlan; 2. Azammuddin Akil, 5. Amirulhadi Zainal, 8. Safiq Rahim (C), 22. Gabriel Guerra (29. Safawi Rasid 73′); 11. Gonzalo Cabrera, 10. Brian Ferreira (9. Ahmad Hazwan Bakri 75′).

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid; 13. Razman Roslan (C), 18. Ugochukwu Ukah, 17. Rizal Fahmi Rosid; 20. Syahmi Safari, 8. Saiful Ridzuwan Selamat (4. Abdul Halim Zainal 82′), 23. S Veenod, 3. K Kannan; 28. Juliano Mineiro (9. Adam Nor Azlin 76′), 10. Francis Forkey Doe, 30. Victor Astafei (5. K Satish 90′).

Pengadil: Zohri Tajuddin