Liga Super: ATM 1 Selangor 1

Selangor terus kemarau kemenangan untuk tempoh lima minggu selepas mencatat keputusan seri 1-1 dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada perlawanan keenam Liga Super di Stadium Selayang, malam tadi.

Biarpun berjaya mendahului seawal minit ketiga menerusi jaringan penyerang import dari Brazil, Paulo Rangel, tiga mata penuh yang cuba diraih Selangor dinafikan jaringan penyamaan ATM menerusi Juan Arostegui pada masa kecederaan separuh masa pertama.

Selepas kali terakhir berjaya mencatat kemenangan pada perlawanan keempat Liga Super dengan menewaskan Sime Darby 2-1 di Stadium Selayang, 8 Februari lalu, Selangor tewas 4-1 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan berikutnya di Larkin, 15 Februari lalu.

Kemudian dua keputusan seri 1-1 berturut-turut dicatat Selangor pada saingan Piala AFC bertemu Arema Indonesia di Stadium Selayang pada 25 Februari dan ketika menentang kelab Maldives, Maziya di Male, 11 Mac lalu.

Pada perlawanan malam tadi, gol Selangor pada minit ketiga itu berpunca daripada sepakan percuma diambil K Gurusamy yang ditanduk Steve Pantelidis sebelum disudahkan Rangel biarpun cuba diselamatkan pertahanan import ATM, Spase Dilevski di atas garisan gol.

Tersentak dengan jaringan itu, ATM cuba mencari gol penyamaan dan Arostegui hampir melakukannya pada minit ke-39, namun tandukan penyerang dari Argentina itu sekadar menggegar tiang gol tatkala penjaga gol Selangor, Farizal Marlias sudah pun tertewas.

Akhirnya gawang Selangor bocor pada masa kecederaan selepas hantaran Venice Elphi Dannykaya pantas disudahkan Arostegui tanpa sempat dihadang oleh Pantelidis untuk menewaskan Farizal bagi menamatkan babak pertama dengan kedudukan 1-1.

Bersambung babak kedua, Selangor hampir berjaya memperolehi gol kedua pada minit ke-52, namun tandukan Rangel hasil sepakan percuma Gurusamy dari sebelah kanan berjaya diselamatkan pertahanan ATM, Nor Fazly Alias di atas garisan gol.

Bagi menambah sengat di jentera depan, jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic memasukkan penyerang tinggi lampai, Afiq Azmi menggantikan Fitri Shazwan Raduwan pada minit ke-73.

Hanya dua minit kemudian, Afiq hampir meletakkan namanya dalam senarai penjaring tetapi lambungannya selepas menerima lorongan cantik Abdul Hadi Yahya sedikit melepasi palang gol meskipun dia hanya berdepan penjaga gol ATM, Syed Adney Syed Hussein.

Kemuncak kekecewaan kem Selangor jelas kelihatan pada minit ke-83 apabila Afiq ditarik Dilevski di dalam kotak penalti ketika cuba melakukan rembatan ke arah gol tetapi pengadil, Zamzaidi Katimin enggan memberikan sepakan penalti untuk kedudukan 1-1 itu kekal sehingga wisel penamat.

Selangor kini menduduki tangga ketujuh Liga Super dengan 10 mata hasil tiga menang, sekali seri dan dua tewas untuk berkongsi mata dengan pasukan tangga keenam, Pahang tetapi Selangor baru beraksi enam perlawanan bersama pendahulu liga, Terengganu berbanding 10 pasukan lain yang sudah beraksi tujuh perlawanan.

Terengganu yang menewaskan JDT 1-0 di Kuala Terengganu berkongsi 13 mata dengan pasukan tangga kedua, Kelantan yang sekadar seri 2-2 dengan Pahang di Kota Bharu.

ATM kendalian B Sathianathan pula berada di tangga kelapan dengan lapan mata selepas tujuh perlawanan.

Selangor selepas ini akan bertemu Hanoi T&T untuk perlawanan ketiga Piala AFC di Hanoi, Vietnam, Rabu ini sebelum bertemu Kelantan bagi perlawanan ketujuh Liga Super di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Ia merupakan perlawanan pertama Selangor di Stadium Shah Alam untuk musim ini selepas menggunakan Stadium MBPJ, Kelana Jaya sebagai gelanggang sementara untuk Liga Super dan Stadium Selayang untuk Piala AFC ketika Stadium Shah Alam menjalani kerja-kerja baik pulih sejak Disember lalu.

ATM: 22. Syed Adney Syed Hussein, 12. Riduwan Maon (31. Safwan Hashim ’86), 3. Nor Fazly Alias, 5. Spase Dilevski, 21. Irwan Fadzli Idrus, 19. Christie Jayaseelan (13. Akmal Mohd Noor ’77), 8. Affize Faisal Mamat (23. Rezal Zambry Yahya ’56), 20. Hairuddin Omar (c), 17. Venice Elphi Dannykaya, 10. Bruno Martelotto, 7. Juan Arostegui.

SELANGOR: 25. Farizal Marlias, 12. Bunyamin Umar (c), 4. Steve Pantelidis, 5. Shahrom Kalam, 16. S Kunanlan, 7. Andik Vermansah, 15. K Gurusamy, 23. S Veenod, 24. Fittri Shazwan Raduwan (19. Afiq Azmi ’73), 14. Abdul Hadi Yahya (20. A Thamil Arasu ’81), 9. Paulo Rangel.

Pengadil: Zamzaidi Katimin