Liga Super 2014: Selangor 2-0 T-Team

Selangor memulakan kempen Liga Super 2014 dengan langkah kanan selepas berjaya mencatat kemenangan 2-0 ke atas T-Team di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, petang semalam.

Kedua-dua gol Selangor itu dijaringkan oleh penyerang import baru dari Brazil, Paulo Rangel pada separuh masa kedua.

Penguasaan penuh Selangor yang dibimbing Mehmet Durakovic musim ini jelas kelihatan jika dibandingkan dengan T-Team kendalian Azraai Khor Abdullah yang kurang mencipta peluang.

Amaran awal Selangor bermula menerusi tandukan pemain pertahanan dari Australia, Steve Pantelidis pada minit ke-16 selepas sepakan sudut tetapi berjaya diselamatkan di atas garisan gol oleh pertahanan T-Team.

Rangel kemudian berpeluang membuka tirai jaringan pada minit ke-20 namun tandukan bebasnya selepas menyambut hantaran lintang S Kunanlan dari sebelah kanan sedikit sipi.

Seorang lagi pemain import Selangor dari Brazil, Junior Aparecido juga memiliki peluang selepas itu tetapi sepakan percumanya pada minit ke-27 berjaya ditepis keluar penjaga gol T-Team, Shahril Sa’ari.

Separuh masa pertama berakhir dengan kedudukan terikat 0-0.

Bersambung separuh masa kedua, T-Team melakukan dua pertukaran awal dengan memasukkan penyerang import dari Indonesia, Patrich Wanggai menggantikan Nelson San Martin pada minit ke-53 dan memasukkan Azlan Ismail menggantikan Hattaphon Bun An minit ke-62.

Sebaliknya Selangor yang akhirnya berjaya memperolehi gol pertama menerusi tandukan Rangel di depan pintu gol T-Team selepas berlaku keadaan kelam kabut susulan sepakan sudut untuk tuan rumah mendahului 1-0 pada minit ke-65.

Selangor kemudian sepatutnya dihadiahkan sepakan penalti selepas Kunanlan dijatuhkan pertahanan T-Team, Shahril Faizal Sharifuddin pada minit ke-67 tetapi pengadil, Zamzaidi Katimin enggan memberikannya.

Seminit kemudian, Durakovic melakukan pertukaran pertama Selangor dengan memasukkan Abdul Hadi Yahya menggantikan Shukur Jusoh yang tercedera ketika membantu gol pertama Selangor.

Tiga mata penuh Selangor disahkan Rangel yang berjaya menanduk masuk gol kedua pada minit ke-71 selepas menerima hantaran lintang Abdul Hadi dari sebelah kanan.

T-Team cuba merapatkan kedudukan selepas itu, namun benteng pertahanan Selangor yang diterajui Pantelidis dan Rizal Fahmi Ab Rosid kerana Shahrom Abdul Kalam masih belum cergas selepas mengalami demam denggi tetap kebal untuk memudahkan tugas penjaga gawang, Farizal Marlias.

Pada perlawanan petang semalam, Durakovic hanya melakukan dua pertukaran dengan kapten Selangor musim ini, Bunyamin Umar dikeluarkan pada minit ke-79 dan digantikan bekas pemain PKNS FC, P Rajesh. K Gurusamy kemudian memakai lilitan lengan selaku kapten.

Bagaimanapun pemain import Selangor dari Indonesia, Andik Vermansah yang berada di bangku simpanan masih belum dapat membuat penampilan sulung apabila tidak dibawa masuk sebagai pemain gantian oleh Durakovic.

Selangor seterusnya bakal bertemu Harimau Muda C pada perlawanan pusingan pertama Piala FA di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, jam 4.15 petang Rabu ini sebelum berkunjung ke Singapura untuk perlawanan kedua Liga Super, Sabtu ini.

[match id=212]

SELANGOR: 25. Farizal Marlias, 12. Bunyamin Umar (c) (18. P Rajesh ’79), 5. Steve Pantelidis, 17. Rizal Fahmi Ab Rosid, 3. Azmi Muslim, 16. S Kunanlan, 6. Shukur Jusoh (14. Abdul Hadi Yahyah ’68), 15. K Gurusamy, 24. Fittri Shazwan Raduwan, 10. Junior Aparecido, 9. Paulo Rangel.

T-TEAM: 25. Shahril Sa’ari, 6. Shahril Faizal Sharifuddin, 3. Faizal Muhamad, 17. Mazuki Yusof (c), 23. Nuraliff Zainal Abidin, 18. Hattaphon Bun An (7. Azlan Ismail ’62), 2. Hazwan Rahman (5. Hasbullah Awang ’72), 4. Fabio Flor, 21. Azrul Hazran Amiludin Baki, 10. Nelson San Martin (8. Patrich Wanggai ’53), 16. Evaldo Rodrigues.

Pengadil: Zamzaidi Katimin