Liga Super 2013: Selangor 4 Johor DT 1

Selangor melonjak ke tangga kedua Liga Super di belakang ATM selepas tampil mantap menewaskan Johor Darul Takzim (JDT) 4-1 di Stadium Shah Alam, malam tadi biarpun tuan rumah terpaksa beraksi dengan hanya 10 pemain pada baki 34 minit terakhir permainan.

Dua gol awal Selangor dijaringkan S Kunanlan dan Francis Forkey Doe pada separuh masa pertama manakala dua jaringan berikutnya menerusi Mahalli Jasuli dan Amri Yahyah terhasil ketika mereka beraksi 10 pemain selepas pertahanan import, Peter Chrappan menerima kad kuning kedua pada minit ke-56. Gol saguhati JDT dijaringkan Norshahrul Idlan Talaha.

Selangor di hadapan seawal minit ke-3 apabila hasrat Kunanlan melakukan hantaran lintang dari sebelah kiri menghasilkan gol apabila bola terus menerjah jaring memerangkap penjaga gol JDT, Zamir Selamat yang sedikit terkeluar dari posisinya.

JDT terus tertekan apabila Selangor berjaya menambah gol kedua pada minit ke-32, kali ini hantaran cantik Solihin Kanasian tepat ke arah Forkey Doe untuk penyerang import dari Liberia itu mudah menolak bola masuk menewaskan Zamir.

Hasrat JDT untuk segera merapatkan jurang tidak kesampaian apabila sepakan percuma kaptennya, Safiq Rahim dua minit kemudian berjaya ditepis baik penjaga gol Selangor, Norazlan Razali.

Dua pertukaran awal dilakukan jurulatih JDT, Fandi Ahmad apabila memasukkan Azniee Taib menggantikan Simone Del Nero pada minit ke-38 dan penjaga gol, Mohd Al Hafiz Hamzah menggantikan Zamir sebaik separuh masa kedua bermula.

Azniee hampir menemui jaringan namun rembatan kaki kirinya dari luar kotak penalti pada minit ke-47 sempat ditepis keluar oleh Norazlan untuk sekali lagi menyelamatkan pintu golnya dari dibolosi.

Segalanya tampak seakan bakal mengubah permainan pada minit ke-56 apabila Selangor terpaksa beraksi 10 pemain selepas Chrappan dilayangkan kad kuning kedua oleh pengadil, Zamzaidi Katimin kerana menarik baju Norshahrul.

Namun para pemain Selangor tidak menunjukkan tanda-tanda berputus asa, malah jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim segera memasukkan kapten, Asraruddin Putra Omar menggantikan Adib Aizuddin Latif yang sudah mempunyai satu kad kuning.

Hasilnya pada minit ke-66, ketika JDT leka menyerang, Mahalli berjaya merampas bola dari kaki Safiq, seterusnya memperdayakan pula Aidil Zafuan Radzak dan melepaskan sepakan kaki kanan menewaskan Al Hafiz untuk Selangor terus selesa mendahului 3-0.

Selang dua minit kemudian, kedudukan bertukar menjadi 4-0, kali ini gerakan cantik Forkey Doe dari sebelah kanan berjaya disudahkan dengan baik oleh Amri selepas dia memperdayakan Kamarul Afiq Kamaruddin dan melepaskan rembatan kaki kiri ke penjuru gawang JDT.

JDT yang terus mencuba akhirnya berjaya membawa pulang gol saguhati pada minit ke-74 apabila Norshahrul berjaya mengatasi beberapa pemain pertahanan Selangor sebelum melepaskan rembatan kaki kiri menewaskan Norazlan.

Saingan Liga Super akan berehat tiga minggu sempena aksi antarabangsa melibatkan skuad kebangsaan, namun Selangor akan beraksi perlawanan kedua Piala AFC bertemu kelab Singapura, Tampines Rovers di Stadium Shah Alam, Rabu ini.

SELANGOR: 21. Norazlan Razali, 18. Mahalli Jasuli, 5. Peter Chrappan, 6. Nasriq Baharom, 7. Adib Aizuddin Latif (4. Asraruddin Putra Omar), 9. Solihin Kanasian, 15. K Gurusamy, 23. S Veenod, 16. S Kunanlan (13. Raimi Md Nor), 17. Amri Yahyah (c), 10. Francis Forkey Doe (12. Bunyamin Umar).

JOHOR DARUL TAKZIM: 18. Zamir Selamat (1. Mohd Al Hafiz Hamzah), 6. Redzuan Nawi, 7. Aidil Zafuan Radzak, 3. Kamarul Afiq Kamaruddin, 2. Irfan Ghani (27. Hadin Azman), 25. Simone Del Nero (4. Azniee Taib), 13. Ezrie Shafizie, 8. Safiq Rahim (c), 12. Nurul Azwan Roya, 14. Daniel Guiza, 9. Norshahrul Idlan Talaha.

Pengadil: Zamzaidi Katimin