Belia Selangor A terus kempunan kemenangan selepas tewas 0-2 kepada Emkay-NPNG dalam perlawanan Liga Super FAS A yang berlangsung di Stadium MPSJ, Subang Jaya malam tadi.

Dua jaringan Abdul Rahman Rahim memastikan NPNG meneruskan rekod cemerlang 100% apabila mencatat kemenangan keempat dari empat perlawanan manakala pasukan Belia Selangor masih tercari-cari mata sulung selepas mengharungi jumlah perlawanan yang sama.

Jurulatih, Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir menyifatkan kekalahan terbaru anak-anak buahnya akibat dari mengulangi skrip kesilapan serupa dari perlawanan-perlawanan terdahulu.

“Mereka melepaskan gol awal dari situasi ‘set-piece’ dan kemudiannya gagal mencipta peluang terbaik untuk menghasilkan gol.

“Dan sesekali bila mereka berjaya memecah kubu pertahanan lawan, keputusan yang diambil para pemain di saat terakhir seringkali salah sekaligus menggagalkan usaha untuk mencipta jaringan.

“Skuad ini masih muda dan saya berharap pemain-pemain yang berpengalaman seperti Mustaqim (Mustaqim Mohd Yusoff) dan Nazreen (Muhammad Nazreen Shah Mohamad Nazri) perlu memainkan peranan lebih penting dalam membimbing rakan-rakan lain dalam situasi permainan,” kata Nazli yang ditemui selepas perlawanan.

Belia Selangor A yang di dalam rangka persiapan mempertahankan Piala Belia FAM yang dimenangi tahun lalu menduduki tangga terakhir Liga Super A hasil daripada 4 kekalahan.