Biarpun baru kembali ke saingan Liga Selangor musim ini selepas menjalani penggantungan dua tahun akibat insiden pergaduhan semasa aksi final Liga Super FAS 2014, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) membuktikan bahawa mereka masih pasukan yang perlu diberi perhatian.

Aksi sulung MPSJ musim ini adalah pada perlawanan pusingan pertama Piala FA selepas menewaskan Dream-MBSA 2-0.

MPSJ terus membuktikan keunggulan di pusingan seterusnya selepas membenam juara Piala FA 2015, Kelab Sultan Sulaiman (KSS) 4-1 untuk mara ke pusingan ketiga.

Pusingan kedua minggu ini turut menyaksikan beberapa pasukan bukan pilihan membuat kejutan menewaskan lawan yang lebih terkenal.

Pasukan Liga Super, My World antara yang menjadi mangsa apabila tewas 3-0 kepada MPOB.

Selepas menewaskan MP Sepang pada pusingan pertama, PNSB meneruskan keunggulan apabila menewaskan juara Divisyen Satu 2016, Damansara 1-0.

Belia Selangor yang dibarisi pemain-pemain pasukan Bawah-19 Red Giants yang dalam persiapan menghadapi Piala Belia 2017 turut cemerlang menewaskan Victoria-Red Engine 3-1.

Keputusan Piala FA 2017 Pusingan Pertama

MMU 1-1 (4-3 penalti) PBSD Kuala Langat; Tanjung Karang 1-0 Penjara Kajang; Selangor Indian Association-PIB 7-0 SS Cybertigers

Keputusan Piala FA 2017 Pusingan Kedua

PNSB 1-0 Damansara; Jeonsa 3-1 MAFC; Belia Selangor 3-1 Victoria-Red Engine; Tanjung Karang 3-1 Tanjung-SCFC; Royal Selangor Club 2-0 Sri Indah TSB; MPOB 3-0 My World; Sri Remaja 2-1 LS-Zazilis; AirAsia 1-0 MMU; MP Subang Jaya 4-1 Kelab Sultan Sulaiman; Nilam Puri – Dengkil 1-0 Selangor Indian Association-PIB.