Jurulatih Selangor, Noor Zaidi Rohmat tetap yakin skuadnya mampu bangkit pada Perlawanan Akhir Kedua Piala Belia 2016 bagi mempertahankan kejuaraan selepas mereka tewas 1-0 kepada Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) B-17 pada Perlawanan Akhir Pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.

Biarpun mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol sepanjang 90 minit permainan, SSBJ B-17 sebaliknya yang berjaya memperoleh gol tunggal perlawanan menerusi percubaan depan gol penyerang utama mereka, Zafuan Azeman pada minit ke-70.

“Peluang memang banyak, cuma kita tak dapat menyempurnakannya ke dalam gol. Tapi secara keseluruhan saya tetap berpuas hati dengan persembahan para pemain.

“InsyaAllah kita akan memperbetulkan dan memperbaiki lagi dari segi penyudah untuk aksi final kedua nanti.

“Seperti yang saya katakan dari awal, SSBJ pasukan yang baik biarpun mereka dibarisi pemain berusia 17 tahun, berbanding kita 19 tahun. Tapi apa yang pasti, kami akan main habis-habisan pada final kedua nanti,” kata Noor Zaidi selepas perlawanan, malam tadi.

Sementara itu, jurulatih SSBJ B-17, Reduan Abdullah masih belum berpuas hati dengan corak permainan ditampilkan anak buahnya, lantas menuntut aksi lebih mantap pada Perlawanan Akhir Kedua di Stadium Arena Universiti Malaya, Kuala Lumpur yang menjadi gelanggang sendiri mereka pada Ahad ini, 23 Oktober.

“Kita masih ada baki 90 minit dan saya fikir persembahan malam ini masih belum memuaskan walaupun kita berjaya mencatat kemenangan tipis 1-0.

“Ini kerana dari segi permainan, Selangor pun memiliki beberapa peluang baik untuk menjaringkan gol.

“Kita boleh lihat permainan seimbang ditunjukkan kedua-dua pasukan dan yang membezakannya apabila kita berjaya memanfaatkan peluang gol.

“Saya rasa kita bersedia untuk memperbaiki kelemahan yang ada untuk beraksi lebih baik pada perlawanan kedua nanti,” kata Reduan.

SELANGOR: 23. Aqil Fadhly Yusop, 27. Aiman Firdaus Azahar, 5. M Tamil Maran (C), 32. Amirul Ashraf Ariffin, 18. S Linggeswaran, 17. D Kugan (20. R Deva 88′), 31. Syazwan Salihin, 8. Ainol Iskandar Mahsun, 7. Fazrul Fahriz Zeky (30. Megat Amirul Imran Zulkfly 85′), 34. Syahmi Safari, 25. Azizul Baharuddin (19. Nor Iman Mazlan 73′).

SSBJ B-17: 1. Khuzairil Izram, 2. Noor Azmierul Hakimi Mohd Noor (12. Awang Faiz Haziqq Awang Fathi 90′), 9. Syaiful Alias (C), 28. Azhar Apandi, 11. Ahmad Tasnim Nasir, 20. Nurfais Johari, 7. Nik Akif Syahiran Nik Mat (15. Al Imran Abdul Halim 83′), 8. Ammar Akhmall Alias, 25. Al Aiman Zaini, 24. Arieffahmie Azam (10. Zahril Azri Zabri 68′), 19. Zafuan Azeman.

Pengadil: Rafifi Anuar Abdullah