Skuad Selangor akan memakai jersi baharu buat pertama kali pada perlawanan kelapan Liga Super 2017 bertemu Perak di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam ini.

Majlis pelancaran jersi baharu musim 2017 itu telah berlangsung di cawangan Al-Ikhsan berhampiran Plaza Tol Lebuhraya Persekutuan, Batu 3, Shah Alam petang tadi.

Ia disempurnakan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang baharu, Dato’ Sri Subahan Kamal sambil disaksikan Pengurus Besar Italia Sportivo Sdn Bhd, Frankie Ng dan Pengurus Besar AL Sports Sdn Bhd, Anwar Mamtaj.

Turut hadir, Setiausaha Agung FAS, Rosman Mohd Ibrahim, Bendahari FAS, Dato’ S Sivasundaram serta Naib Presiden FAS, Nizam Sani dan juga beberapa Exco FAS yang lain.

Jersi berjenama Lotto itu didatangkan dengan tiga rekaan iaitu jersi utama berwarna merah, jersi kedua berwarna kuning dan jersi ketiga berwarna hitam yang diperagakan bekas pemain Selangor, Nazzab Hidzan serta dua penyokong setia Selangor yang terpilih pada majlis pelancaran petang tadi.

Dijual dengan harga RM129 setiap satu, jersi baharu Selangor itu sudah pun berada di pasaran sejurus selesai majlis pelancaran petang tadi di cawangan-cawangan Al-Ikhsan terpilih di sekitar Lembah Klang dan di gerai khas wakil pengedar FAS berhampiran kaunter tiket Stadium Majlis Perbandaran Selayang bermula 5 petang tadi sehingga perlawanan malam ini.