Paste your Google Webmaster Tools verification code here

GILIRAN RED GIANTS MILIKI KAD DEBIT BANK ISLAM

Selepas Kelantan, Pahang dan Kedah, kini tiba giliran penyokong setia Selangor pula untuk memiliki Kad Debit-i Bank Islam Visa Selangor FA “Red Giants” yang telah dilancarkan secara rasmi, hari ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Dato’ Sri Subahan Kamal berkata, usaha Bank Islam itu wajar dipuji kerana mereka satu-satunya bank di negara ini yang melihat bola sepak sebagai aset, bukannya liabiliti.

“Terima kasih kepada Bank Islam yang sudi menghulur tangan kepada FAS pada masa yang memang kita mengharapkan mana-mana pihak untuk membantu dalam merealisasikan impian kita menjadi pasukan yang digeruni.

“Saya nampak Bank Islam ini berfikir di luar kotak. Mereka tak nampak bola sepak ini sebagai satu liabiliti tetapi sebagai satu aset yang mana mereka telah menghulurkan kerjasama dengan persatuan-persatuan bola sepak negeri dan juga Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Bagi kerjasama dengan Bank Islam ini, kami akan lakukan lebih aktiviti promosi selepas ini bagi memastikan para penyokong Selangor dapat menikmati diskaun bagi mana-mana pembelian terpilih,” kata Subahan ketika melancarkan kad berkenaan di Hotel Dorsett Grand Subang, Subang Jaya, petang tadi.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Khairul Kamarudin, barisan pengurusan tertinggi FAS serta skuad Liga Super Selangor diketuai jurulatih, P Maniam dan kapten, Razman Roslan.

Sempena pelancaran kad berkenaan juga, kempen “Red Giants” telah dianjurkan Bank Islam dengan menawarkan hadiah wang tunai sehingga RM2,000 dan barangan bola sepak bernilai sehingga RM500 untuk tempoh bermula hari ini sehingga 31 Julai 2017.

Apa yang perlu dilakukan, penyokong Selangor hendaklah memohon Kad Debit-i Bank Islam Visa Selangor FA “Red Giants” dan dengan setiap perbelanjaan minimum RM50 menggunakan transaksi runcit dalam satu resit (menggunakan kad pin 6-digit & payWave sahaja) akan mendapat satu kelayakan.

Pemenang akan dipilih berdasarkan cabutan kelayakan terkumpul. Jadi lebih banyak pemegang kad itu berbelanja, lebih tinggi peluang untuk menang.

Hadiah hebat menanti iaitu satu hadiah utama berupa wang tunai RM2,000 dan barangan sukan bola sepak bernilai RM500, dua pemenang hadiah tempat kedua berupa wang tunai RM1,000 dan barangan bola sepak bernilai RM300, tiga pemenang hadiah tempat ketiga berupa wang tunai RM500 serta 50 hadiah saguhati berupa wang tunai RM200 setiap pemenang.

Kad Debit-i Bank Islam Visa Selangor FA “Red Giants” kini boleh didapati di semua cawangan Bank Islam seluruh negeri Selangor dan cawangan terpilih di Lembah Klang.