Final Piala Malaysia: Selangor 2 Kedah 0

Selangor akhirnya menamatkan kemarau kejuaraan Piala Malaysia selama 10 tahun selepas berjaya menewaskan Kedah 2-0 pada final TM Piala Malaysia 2015 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Dua jaringan Ahmad Hazwan Bakri pada minit keempat dan ke-48 memastikan skuad Red Giants kendalian Mehmet Durakovic mencapai Misi 33 dengan Selangor terus melebarkan rekod selaku pasukan paling banyak menjuarai Piala Malaysia iaitu sebanyak 33 kali.

Kejayaan itu turut menjadi hadiah hari lahir paling istimewa buat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menyambut hari ulangtahun keputeraan baginda pada Jumaat.

Aksi final malam tadi berlangsung meriah di hadapan lebih 70,000 penyokong kedua-dua pasukan biarpun keadaan padang sedikit licin kerana hujan.

Ahmad Hazwan memberi amaran seawal minit kedua apabila sepakan percuma diambilnya terus ke dakapan penjaga gol Kedah, Firdaus Muhamad.

Gol Selangor hadir pada minit keempat menerusi satu serangan balas apabila hantaran Guilherme De Paula berjaya disudahkan dengan baik oleh Ahmad Hazwan untuk menewaskan Firdaus.

Tersentak dengan jaringan awal itu, Kedah kendalian Tan Cheng Hoe cuba mengasak kubu Selangor dan pada minit kelapan, Sandro Da Silva berjaya mengatasi Raimi Md Nor di sebelah kanan tetapi hantarannya gagal disudahkan dengan tepat oleh Syazwan Zainon.

Pada minit ke-28, Selangor hampir menambah jaringan tetapi percubaan lambung Andik Vermansah sedikit tinggi melepasi palang gol Kedah.

Pada penghujung masa kecederaan separuh masa pertama, gawang Selangor cemas seketika apabila pemain pertahanan kanan Kedah, Rizal Ghazali melakukan percubaan jarak jauh tetapi ia berjaya ditepis keluar penjaga gol Selangor, Norazlan Razali.

Bersambung babak kedua, Selangor tidak menunggu lama untuk memperoleh gol kedua pada minit ke-48 apabila sekali lagi hantaran De Paula berjaya disudahkan dengan rembatan kaki kiri oleh Ahmad Hazwan menewaskan Firdaus.

Peluang terbaik Kedah untuk merapatkan kedudukan hadir pada minit ke-65 tetapi tandukan pemain gantian, Farhan Roslan di depan pintu gol Selangor selepas menerima hantaran Liridon Krasniqi dari sebelah kanan sekadar melewati palang gol.

Tiga minit berselang, giliran Norazlan beraksi cemerlang apabila penjaga gol Selangor itu pantas menghadang percubaan satu lawan satu dengan Sandro di depan pintu golnya untuk memastikan Selangor kekal mendahului 2-0.

Pada minit ke-80, Selangor terlepas peluang terbaik untuk menggandakan kedudukan apabila S Veenod lambat menyudahkan serangan balas apabila sepakan lemahnya berjaya ditepis keluar oleh Firdaus.

Empat minit berselang, Veenod sekali lagi terlibat dalam serangan balas dan kali ini percubaannya ditepis Firdaus di luar kotak penalti, sekali gus penjaga gol Kedah itu dilayangkan kad merah untuk Kedah beraksi 10 pemain pada baki enam minit terakhir perlawanan.

Namun tiada tambahan gol diperoleh Selangor untuk akhirnya mengesahkan kejuaraan ke-33 menerusi kemenangan 2-0 hasil dua jaringan Ahmad Hazwan yang dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.

Kali terakhir Selangor menjuarai Piala Malaysia ialah pada 2005 apabila berjaya menewaskan Perlis 3-0 menerusi hatrik penyerang import dari Indonesia, Bambang Pamungkas tetapi pada penampilan final seterusnya bertemu Kedah pada 2008, Selangor tewas 3-2.

Pada sidang media selepas perlawanan malam tadi, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan Isnin ini (14 Disember) sebagai cuti peristiwa di negeri Selangor di atas kejayaan menjuarai Piala Malaysia 2015.

SELANGOR: 22. Norazlan Razali, 20. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, 2. Robert Cornthwaite, 5. Shahrom Abd Kalam (c), 15. Raimi Md Nor, 11. Ahmad Hazwan Bakri (23. S Veenod 78′), 8. Leandro dos Santos, 10. Nazmi Faiz Mansor, 7. Andik Vermansah (24. Fittri Shazwan Raduwan 83′), 14. Abdul Hadi Yahaya (25. K Gurusamy 89′), 13. Guilherme De Paula.

KEDAH: 25. Firdaus Muhamad, 15. Rizal Ghazali, 13. Khairul Helmi Johari (c), 4. Bang Seung Hwan, 6. Shafizan Hashim (20. Syafiq Ahmad 75′), 7. Baddrol Bakhtiar, 17. Syazwan Tajudin (19. Farhan Roslan 58′), 49. Liridon Krasniqi, 22. Syazwan Zainon (21. Syazwan Abdullah 85′), 50. Sandro Da Silva, 10. Chidi Edeh.

Pengadil: Nazmi Nasaruddin