Juara berganda Liga Super dan Piala FA 2016, Emkay-NPNG memulakan aksi 2017 dengan langkah kanan selepas menewaskan PKNS 2-0 untuk menjulang Piala Sumbangsih di Kompleks Sukan UKM Bangi.

Gol Emkay-NPNG dijaringkan ketua pasukan, Mohd Raffi Mansor dan Mohd Radzi Pilus.

Perlawanan ini yang berlangsung sebagai aksi pembuka tirai musim baru merupakan peluang terbaik bagi kedua-dua pasukan untuk menilai prestasi semasa.

Emkay-NPNG terlebih dahulu menguasai babak awal perlawanan dengan beberapa kali menguji gawang PKNS yang dikawal bekas penjaga gol simpanan pasukan Liga Super Selangor, Muhammad Nuraizat Abdul Aziz.

Selepas beberapa kali terlepas peluang keemasan, gol yang dicari Emkay-NPNG ditemui pada minit ke-31.

Sepakan sudut Emkay-NPNG berjaya dikeluarkan pertahanan PKNS namun pantas disambar Mohd Raffi sebelum beliau melepaskan rembatan deras menewaskan Nuraizat untuk pasukannya mendahului 1-0.

Mohd Radzi kemudiannya menggandakan kelebihan Emkay-NPNG menerusi tandukan menewaskan Nuraizat enam minit kemudian sebelum aksi separuh masa pertama berakhir dengan kedudukan 2-0.

Aksi separuh masa kedua menyaksikan perlawanan lebih banyak berkisar di bahagian tengah padang di saat Emkay-NPNG lebih banyak bertahan bagi menidakkan sebarang peluang terbuka untuk PKNS.

Keputusan kekal 2-0 sehingga wisel penamat sekaligus membolehkan Emkay-NPNG menjulang Piala Sumbangsih 2017. Pingat dan piala pusingan disampaikan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Rosman Haji Mohd Ibrahim dan presiden Kelab Sukan NPNG, Syed Azniputra Syed Abdullah.