Impian kelab Liga Perdana, Bukit Kapar untuk mencipta sejarah muncul juara Piala FA Selangor buat pertama kali tidak kesampaian selepas tewas 2-4 menerusi penentuan sepakan penalti kepada juara bertahan, Emkay-NPNG dalam aksi final di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Bukit Kapar yang mara ke final edisi 2017 selepas menewaskan beberapa pasukan pilihan bagaimanapun menampilkan aksi bertenaga untuk mengheret Emkay-NPNG sehingga ke penentuan sepakan penalti selepas aksi masa penuh dan tambahan berkesudahan seri 1-1.

Turun sebagai pasukan pilihan, Emkay-NPNG terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Sivachandran Gunasekaran yang bijak menyudahkan sepakan sudut pada minit ke-21.

Tidak berputus-asa, Bukit Kapar menyamakan kedudukan 10 minit kemudian menerusi penjaring utama, Mohd Syafiq Mohd Zahari.

Kedudukan separuh masa pertama berakhir 1-1.

Di separuh masa kedua, Emkay-NPNG menguasai perlawanan namun ketiadaan sentuhan penyudah yang dilihat sedikit tumpul berikutan ketiadaan penyerang utama, Mohd Lukhman Noor Hakim yang tidak dapat beraksi.

Bukit Kapar turut sekali-sekala memberi ancaman kepada benteng Emkay-NPNG menerusi serangan balas pantas namun kedua-dua pasukan gagal mencari gol kemenangan sehingga pemenang terpaksa ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.

Pada penentuan sepakan penalti, pemain Emkay-NPNG Mohd Raffi Mansor, Rohan Ganesan, Azralan Azmi dan Mohd Shuhaimi Shuib menyempurnakan sepakan penalti masing-masing. Biarpun dibalas oleh Bukit Kapar menerusi Mohd Hafiz Khazali dan Rafiuddin Ramly namun sepakan penalti Ahmad Muslim Abdullah dan Syafiq diselamatkan penjaga gol Emkay-NPNG, Mohd Zaidi Razlee.

Majlis penyampaian pingat dan piala disempurnakan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dato’ Sri Subahan Kamal serta Presiden Emkay-NPNG, Tan Sri Mustapha Kamal dan diiringi Setiausaha Agung FAS, Rosman Mohd Ibrahim; Bendahari FAS, Dato’ S Sivasundaram; Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAS, Datuk Ariffin Dato’ Ab Hamid; serta Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif FAS yang lain.

EMKAY-NPNG: 1-Mohd Zaidi Razlee, 2-Muhammad Syazwan Mohamed Rani, 3-Mohd Saufi Mohd Ibrahim (7-Azralan Azmi 41’), 8-Mohd Badrul Hisyam Azmi, 9-Mohd Radzi Pilus (10-Mohd Shuhaimi Shuib 63’), 11-Mohd Raffi Mansor (K), 15-Mohd Ihsan Ibrahim Daud, 17-Sivachandran Gunasekaran, 19-Rohan Ganesan, 23-Wan Mohamad Hamizi Wan Ahmad, 25-Ahmad Dashila Tajudin

BUKIT KAPAR: 1-Muhd Syafiq Aladin, 2-Mohd Fadhil Mohd Hashim, 5-Ahmad Muslim Abdullah, 6-Mohd Redza Asha (K), 9-Mohd Suhaizi Zainol (4-Muhammad Shukri Rosli 58’), 13-Helmi Sazrin Tamami (7-Ahmad Saufi Ibrahim 50’), 17-Mohd Syafiq Mohd Zahari, 18-Mohd Hafiz Mohd Khazali, 20-Rafiuddin Ramly, 21-Muhammad Aizat Jaini, 23-Norhasri Mohamad