Emkay-NPNG muncul juara Liga Super FAS 2016 selepas menewaskan PKNS 2-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.

Kejayaan ini pastinya amat manis buat Emkay-NPNG yang mencipta kejuaraan berganda selepas terdahulu menjulang Piala FA Selangor menewaskan Team Force, April lalu.

Dalam perlawanan yang berlangsung di atas permukaan padang yang basah akibat hujan yang turun di sebelah petang, PKNS terlebih dahulu mendahului 1-0 menerusi jaringan Azizul Mahmud pada minit ke-7 separuh masa pertama.

Kelebihan seakan berpihak kepada PKNS selepas Emkay-NPNG terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Ahmad Dashila Tuajudin menerima kad kuning kedua seterusnya dilayangkan kad merah pada minit ke-77.

Namun dua gol dalam 7 minit terakhir memastikan kebangkitan Emkay-NPNG sekaligus meraih kejuaraan Liga Super musim 2016.

Kebangkitan Emkay-NPNG diterajui jaringan ketua pasukan, Mohd Raffi Mansor pada minit ke-83 sebelum Mohd Zulkifli Affandi Mohd Zakri muncul wira dengan jaringan kemenangan pada minit ke-87.

Sebagai juara, Emkay-NPNG menerima hadiah wang tunai sebanyak RM20,000 manakala naib johan, PKNS menerima RM10,000. Tempat ketiga dikongsi bersama oleh PNSB dan Smart Focus.

Hadiah disampaikan oleh Pengerusi Emkay Group, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar yang diiringi Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Rosman Haji Mohd Ibrahim.

PKNS: 25-Muhamad Nuraizat Abdul Aziz, 4-Mohd Firdaus Haron (kapten), 5-Ibnu Hisyam Mohd Nazri, 6-Mohd Faizul Mohamed, 7-Mohamad Jeffri Jusoh (21-Fairus Rosli) (10-Muhammad Taufik Zainal), 9-Muhammad Nazreen Faizal Azmi, 11-Mohd Sudir Abd Rahman, 12-Mohamad Fadhil Abdul Wahab (23-Muhamad Noor Hassan), 13-Mohd Saiful Azlizan Sahar, 16-Mohamad Faizal Sharuddin, 18-Azizul Muhamad

Emkay-NPNG: 1-Mohd Hafiz Arbaen, 2-Muhammad Syazwan Mohamed Rani, 6-Mohamad Lukhman Noor Hakim Jaafar, 7-Azralan Azmi, 8-Noorazeli Kamisan, 11-Mohd Raffi Mansor (kapten), 13-Mohd Shamer Alif Jamaludin (10-Mohd Shuhaimi Shuib), 16-Ahmad Dashila Tajudin, 18-Mohd Syafiq Mohd Zahari (20-Mohd Zulkifli Affendi Mohd Zakri), 21-Benedict Martin, 23-Wan Mohamad Hamizi Wan Ahmad (24-Ahmad Shahidan Mohd Zuki)

PENGADIL: Mohd Rahmat Jantan