Damansara menjuarai Liga Bahagian 1 Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) edisi 2016 selepas menewaskan Batu Dua FC (B2FC) 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi yang berlangsung di Stadium Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, malam tadi.

Kedua-dua pasukan sebelum itu, terikat 2-2 selepas 70 minit permainan dan 20 minit masa tambahan.

Damansara yang mendapat sokongan kira-kira 100 penyokongnya yang hadir berbaju oren bagaimanapun dikejutkan menerusi gol pendahuluan B2FC menerusi R Karthik pada minit ke-27.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Damansara berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan K Naraintharan pada minit ke-32.

Sejurus sebelum rehat, Naraintharan menjaringkan gol peribadi kedua beliau untuk meletakkan Damansara di hadapan 2-1.

Tambah malang buat B2FC apabila penjaga gol utama, Farhan Ariffin turut mengalami kecederaan sewaktu insiden jaringan tersebut dan terpaksa digantikan dengan M Jegathisan untuk aksi separuh masa kedua.

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan pada aksi babak kedua namun tiada jaringan terhasil sehinggalah pada minit ke-62.

Pemain gantian B2FC, S Jegatheswaran yang baru masuk dua minit sebelumnya bijak menewaskan penjaga gol Damansara, M Vicneswaran untuk kedudukan terikat 2-2 sehingga wisel penamat dibunyikan pengadil.

Tiada sebarang jaringan terhasil oleh kedua-dua pasukan semasa waktu tambahan sekali gus perlawanan terpaksa ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.

S Sharma Rao, M Parameswaran, Sriasagis Kumar dan P Thamotharan menyempurnakan sepakan penalti buat Damansara sambil dibalas oleh B2FC menerusi K Sathiskumar, R Mahesan dan R Saravanan.

Namun kecekapan Jegathisan menyelamatkan sepakan penalti B2FC yang diambil Karthik dan R Dayanithi memastikan kejuaraan milik Damansara.