Paste your Google Webmaster Tools verification code here

Andik cedera, Indonesia cipta kejutan

Pemain sayap Selangor, Andik Vermansah mengalami kecederaan serius sewaktu mewakili Indonesia pada aksi final pertama Piala AFF Suzuki 2016 menentang Thailand malam tadi.

Pada perlawanan tersebut, Indonesia yang memburu kejuaraan pertama berjaya mencipta kemenangan 2-1. Tuan rumah ketinggalan terlebih dahulu hasil jaringan Teerasil Dangda, namun membalas menerusi gol Rizky Pora dan Hansamu Yama Pranata.

Insiden melibatkan Andik berlaku seawal minit ke-20 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Pakansari, Bogor.

Andik menerima rawatan selepas aksi merebut bola bersama pemain Kroekit Thawikan dan dilihat cuba meneruskan permainan dalam keadaan terhincut-hincut.

Namun beliau hanya bertahan untuk beberapa ketika sebelum rebah dan terpaksa diusung keluar. Tempat beliau digantikan oleh Zulham Zamrun.

Jurulatih Indonesia, Alfred Riedl, ketika ditemuramah wartawan selepas perlawanan tersebut memberitahu bahawa Andik akan menjalani MRI (Magnetic Resonance Imaging) berkemungkinan besar akan terlepas aksi final kedua di Bangkok, Sabtu ini.

Ketiadaan Andik pastinya akan dirasai skuad Garuda selepas beliau beraksi kesemua perlawanan di kejohanan ini dan mencipta satu jaringan.