18 pemain tampil hari pertama latihan

Hari pertama sesi latihan pramusim skuad Liga Super Selangor untuk musim 2017 di Padang SUK, Shah Alam, petang tadi menyaksikan kelibat seramai 18 pemain turun menjalani latihan selama lebih sejam.

Seramai 10 pemain musim 2016 hadir terdiri daripada ketiga-tiga penjaga gol iaitu Khairulazhan Khalid, Norazlan Razali dan Zarif Irfan Hashimuddin serta tujuh pemain lain iaitu Razman Roslan, Bunyamin Umar, Raimi Md Nor, S Veenod, Saiful Ridzuwan Selamat, Fittri Shazwan Raduwan dan Adam Nor Azlin.

Sementara tujuh pemain dari skuad Piala Presiden telah dinaikkan pangkat ke skuad utama 2017 iaitu Faizzudin Abidin, Badrul Amin Rusalan, Amirul Ashraf Ariffin, Syahmi Safari, A Namathevan, K Kannan dan K Sarkunan.

Melengkapkan senarai 18 pemain bagi sesi latihan petang tadi ialah bekas pemain pertahanan Shahzan Muda, PKNS FC, Negeri Sembilan, T-Team, Pulau Pinang dan Sarawak iaitu G Mahathevan, 28, yang beraksi bersama kelab Piala FAM, Megah Murni FC musim 2016 untuk hadir menjalani ujian pemilihan.

Tiada kelibat pemain import kelihatan termasuk Andik Vermansah yang masih mempunyai kontrak tetapi pemain sayap itu baru selesai beraksi bersama skuad Indonesia pada saingan Piala Suzuki AFF 2016 dan dilaporkan mengalami kecederaan.

Sesi latihan petang tadi kekal dikendalikan jurulatih sementara Selangor musim 2016, K Gunalan yang masih mencari beberapa lagi pemain baharu bagi melengkapkan pasukannya menghadapi musim 2017 yang bakal membuka tirai saingan pada 21 Januari depan.

Antara pemain musim 2016 yang tidak lagi akan bersama Selangor untuk musim 2017 ialah Azmi Muslim, Shahrom Kalam, Nazmi Faiz Mansor, Ahmad Hazwan Bakri, Abdul Hadi Yahaya, Rizal Fahmi Rosid, S Subramaniam dan Hafiz Kamal.

Kecuali Andik, tiga lagi pemain import Selangor untuk musim 2016 ialah Patrick Ronaldinho Wleh, Mauro Olivi dan Ugo Ukah yang tidak disambung khidmat mereka.