‘TAMATKAN kemelut yang melanda dan bantu Persa­tuan Bola Sepak Selangor (FAS) untuk mempersiap­kan pasukan menjelang aksi Liga Super 2017.’

Demikian harapan Naz­zab Hidzan apabila me­wakili barisan bekas pemain Selangor yang merayu supaya Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali menjalankan tugasnya sebagai Presiden FAS untuk menyalurkan dana kepada skuad Gergasi Merah musim depan.

Menurutnya, konflik ter­sebut tidak sepatutnya berlaku andai Azmin tam­pil menjelaskan ma­salah dalaman yang berlaku pada badan induk bola sepak negeri itu supaya jalan penyelesai­an boleh dicari dengan segera.

“Ini pertama kali dalam sejarah situasi ini berlaku dalam tempoh 20 tahun yang mana Menteri Besar yang menjawat tugas sebagai presiden persatuan enggan memberi bantuan kepada FAS kerana bari­san presiden sebelum ini sentiasa memberikan komitmen penuh.

“FAS boleh mendapatkan dana sendiri untuk ber­aksi dalam saingan Liga Super tetapi ia agak sukar berdasarkan tempoh masa yang terhad. Hanya penaja berpotensi dan mempunyai sumber kewa­ngan yang kukuh dapat menyelamatkan ma­sa­lah FAS, namun agak sukar kerana situasi semasa.

“Harapan kami supaya perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin kerana ia akan merugikan kedua-dua belah pihak ber­ikutan saingan Liga Malaysia (Liga M) akan ber­mula tidak lama lagi tetapi persiapan dan masa depan pasukan masih tidak menentu,” katanya di Shah Alam semalam.

Kosmo! semalam melaporkan, masalah yang melanda FAS makin parah apabila ahli gabungannya, PKNS FC telah menyertai Persatuan Bola Sepak Melayu Selangor (PBSMS) selain Azmin didakwa belum mengumumkan sebarang peruntukan kepada juara Piala Malaysia 33 kali itu bagi musim depan.

Difahamkan, gelanggang keramat skuad Selangor, Stadium Shah Alam bakal dijadikan stadium rasmi skuad PKNS untuk kancah Liga Super 2017, manakala venue untuk skuad Gergasi Merah pula dijangka bakal ber­alih ke Stadium Majlis Per­bandaran Selayang atau Stadium UiTM, Shah Alam.

Sebagai rekod, Nazzab, 41, merupakan bekas pemain bola sepak skuad ke­bangsaan dan pernah menjulang trofi Piala Malaysia sebanyak dua kali bersama skuad Selangor pada edisi 1997 dan 2005.

Sumber: Kosmo!

Artikel ini disiar semula dari media yang dinyatakan dan tidak semestinya mewakili pandangan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS)