PEMAIN import sensasi dari Indonesia, Andik Vermansah bakal kembali ke bumi Selangor pada 20 April ini untuk menjalani ujian kecergasan.

Berita terbaharu itu juga memungkinkan dia kembali tersenarai dalam skuad utama apabila jendela perpindahan pemain Liga Malaysia (Liga M) dibuka bulan depan.

Perkara tersebut disahkan oleh pengurus pasukan Gergasi Merah, Abdul Rauf Ahmad yang turut mendedahkan salah seorang daripada dua pemain import baharu, Victor Astafei atau Juliano Mineiro mungkin terpaksa ditunjukkan pintu keluar untuk memberi laluan kepada Andik.

“Secara jujur, saya telah berhubung dengan Andik dan bertanya kepada dia sama ada masih berminat untuk mewakili Selangor pada musim ini. Andik menjelaskan kepada saya bahawa dia tidak mempunyai sebarang masalah dan bakal tiba ke sini pada 20 April depan.

“Bagaimanapun, saya memberitahu segala keputusan akan diputuskan sekiranya dia melepasi ujian kecergasan nanti. Apa yang pasti, kami akan menyenaraikan Andik kembali (dalam skuad utama) andai ujian tersebut berlangsung dengan positif dan dia sah pulih seratus peratus daripada kecederaan.

“Jika perkara tersebut berlaku, pihak pengurusan terpaksa mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak Astafei atau Mineiro yang bakal tamat pada Jun nanti. Cuma, saya tidak dapat sahkan siapa kerana prestasi mereka agak cemerlang awal musim ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sebagai rekod, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) terpaksa mengambil keputusan merehatkan ‘pemain berusia 26 tahun itu memandangkan yang masih dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan lutut susulan kecederaan ketika membantu skuad kebangsaan Indonesia pada perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2016 dan difahamkan terpaksa direhatkan selama lebih tiga bulan.

Dalam perkembangan sama, Rauf yang juga Naib Presiden FAS menafikan bahawa pihaknya telah berhubung dengan Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) untuk membawa pulang penyerang veteran, Mohd. Amri Yahyah pada jendela perpindahan pemain dibuka nanti.

“Saya tidak tahu mengenai perkara tersebut (penghijrahan Amri ke Selangor) kerana kami tidak pernah berbincang secara rasmi sama ada dengan pihak MUSA atau wakil daripada Amri sendiri.

“Bagaimanapun, kami tetap membuka pintu kepadanya jika mahu kembali tetapi segalanya bergantung apabila persetujuan kesemua pihak mengenai pampasan, tempoh kontrak dan gaji bulanan yang ditawarkan.

“Ini kerana kami dibarisi dengan pemain muda dan saya percaya kehadiran Amri sebagai pemain senior yang juga kapten skuad kebangsaan bakal memberi motivasi tambahan buat rakan-rakan sepasukan di padang. Malah, kami masih kekurangan pemain yang mampu mengisi posisi No. 10 untuk berada belakang Forkey Doe,” jelasnya lagi.

Sumber: Kosmo! (MUHD. ARDIE PUTRA SUHAIMI)

Artikel ini disiar semula dari media yang dinyatakan dan tidak semestinya mewakili pandangan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS)